Istilah ‘Salahbrity’ ini pertama kalinya aku jumpa di muka belakang senaskhah majalah berbahasa Inggeris keluaran tempatan. (Pernah juga aku menolong majalah ini dengan mereka muka depan mereka, malangnya kedua-dua kawan aku yang pernah bekerja di majalah ini telah pun meletak jawatan. Gaji sudah tiga bulan tidak dibayar, kata mereka…)
Jadi, apakah ‘Salahbrity’?
Yang aku faham, “orang yang terkenal tanpa sebab”.
Kalau anda perhatikan di dalam majalah-majalah terkemuka tempatan (di sini maksudnya yang bukan Mangga, Mastika dan yang seangkatan dengannya), pasti akan ada terlihat gambar-gambar yang diambil di majlis ‘eksklusif’. Eksklusif di sini bermaksud majlis-majlis yang kemungkinan besar saya telah dijemput untuk menghadirkan diri (tetapi biasanya saya menolak pelawaan tersebut atas sebab-sebab tertentu. Lain cerita.) dan tak mungkin kamu dijemput. Seperti majlis pelancaran busana high-fashion, pelancaran butik (yang bukan di dalam Sungei Wang Plaza atau Kompleks Pertama), pelancaran produk (yang tak seberapa), biasanya penuh dengan arak percuma (kebiasaannya bukan sahaja bir malah Moet Chandon dan wain 10 tahun ke atas) dan model-model kurus berbuah dada besar. Maaf, tiada muzik dangdut di sini, jadi mungkin kamu kurang pengalaman dalam majlis sebegini.
Cuba perhatikan manusia yang di dalam gambar-gambar tersebut.
(seperti biasa garisan hitam adalah untuk melindungi identiti sebenar…)
Kebiasaannya, akan ada muka orang kaya, anak orang kaya, orang yang keluar bersama anak orang kaya, dan 60% lagi adalah ‘Salahbrity’. Kamu akan kenal siapa ‘Salahbrity’ ini, sebab kebiasaannya mereka pasti dijemput untuk ‘memeriahkan’ majlis sebegini. Muka-muka yang sama.
Di majlis sebegini, selain dari orang-orang kaya dan orang-orang yang ada kena mengena dengan orang-orang kaya, pasti akan ada :
1. Penyanyi yang ada satu lagu ‘hit’. Tapi pandai mengenakan busana (yang selalunya dipinjam sehari sebelum majlis berlangsung, dan dipulangkan sehari selepas. Yang tak pulangkan langsung pun ada, tapi gerenti takkan dijemput ke majlis seterusnya.) Memang mempunyai rupa dan susuk badan yang menarik. Kadang kala akan menyanyi di club bersama DJ terkemuka tempatan untuk menaikkan cool quotient diri sendiri.
2. Bekas Miss Malaysia tahun 1999, 2002, 2004/5/6. Baju pinjam juga. Yang badan berisi sikit tak akan dijemput dan kebiasaannya mereka yang tak dijemput akan berpindah ke Singapura dan menjadi ‘Salahbrity’ di sana pula.
3. Model-model perempuan yang kurus berbuah dada besar. Baju yang dipinjam juga. Tua, muda, semua ada, tetapi sejak kebelakangan ini yang muda dan berbangsa Eropah Timur dan tidak pandai berbahasa Inggeris (serta bawah umur) semakin ramai. Selalunya mereka yang akan menghabiskan bekalan arak percuma di majlis sebegini sebelum jam 1 pagi.
4. Model-model perempuan yang kurang tinggi tapi masih berbuah dada besar, walaupun terpaksa menahan kesakitan akibat dibedah di Bangkok. Yang pandai mengacara rancangan tv pun ramai.
5. Model-model lelaki yang meminjam baju kawan. (Tidak adillah jikalau model perempuan sahaja yang dijemput). Orang-orang kaya yang wanita dan tua masih datang ke majlis sebegini disebabkan golongan ini. Ada di kalangan mereka yang telah pun bertukar karier sebagai pengacara rancangan tv. Diversify, they said.
6. Pelakon-pelakon kelas ‘atasan’ yang suka memakai t-shirt ketat berwarna putih di bawah evening dress yang berpotongan seksi kalau wanita, dan baju sut berwarna ungu ciptaan pereka di Jalan Masjid India kalau lelaki. Yang lelaki biasanya bermisai. Biasanya golongan ini jarang datang sebab mereka tidak mahu kantol meneguk arak. Nanti digam RTM pula.
7. Siti Nurhaliza. (tetapi dia selalu tak datang pun).
8. Orang-orang yang ada kaitan dengan orang 1-7.
Kerja mereka ini senang. Tunggu panggilan dari personal assistant mereka, aturkan rancangan untuk ke majlis mana (dan untuk menolak majlis yang mana. Salah tolak dan mereka tidak akan dijemput selama-lamanya!) Panggil butik mana yang sanggup menaja pakaian mereka, (‘menaja’ di sini bermaksud pinjam. Jarang akan ada pereka fesyen dalam atau luar negara yang ingin memberikan pakaian secara percuma).
Mesti korang tak tahu.
Jadi, si ‘Salahbrity’ ini akan datang, ‘memeriahkan’ majlis. Ada yang akan berkelakuan sungguh sopan, tapi ada juga yang kurang sopan. Terlentang di jalan, kain terselak, muntah di meja. Macam-macam ada.
Dan selepas semuanya berakhir, mereka akan memikirkan siapa lagi yang akan menaja pakaian mereka untuk majlis seterusnya.
Saya sayang ‘salahbrity’.
Popularity: 4% [?]
Hahahha. Betul la observation you. Used to work for a high-end retail company & kerja I kena invite ‘salahbrity2′ for product launch et al.
You lupa satu, salahbrity ni muka tak malu, kalau door gift tu satu tak cukup, nak dua tiga empat lima…. Cit.