Trend Terhangat 2007. (Cerita Lapuk)

Hasil nukilan pada 27/01/2008, 7:39 AM oleh Melayu Minimalis

57


Aku tahu aku lambat. Sekarang sudah pun hampir ke penghujung bulan Januari. Tapi aku tak peduli, aku nak buat juga.

Tahun lalu boleh dikatakan banyak benda-benda yang mungkin kurang popular pada tahun 2006 tetapi tiba-tiba meletup dan hangat tahun lalu. Mungkin sebab kita sekarang pandai guna Wikipedia.

Jadi, di sini aku ingin senaraikan 10 trend terhangat yang aku sempat perasan tahun lepas. Sila ambil perhatian bahawa trend yang aku sebut ini hanya dalam konteks Lembah Kelang, dan mungkin belum popular lagi di Ulu Kinta. (Jadi kalau kamu ingin jadi popular di Ulu Kinta mungkin kamu boleh mulakan trend-trend yang aku sebut di bawah.) Juga senarai trend ini adalah berkenaan trend-trend yang relevan dengan aku sebagai seorang ahli fizik nuklear, misalnya aku mungkin kurang arif dengan trend di kalangan golongan Pak Haji mahupun ahli politik.

1. Cupcake
Aku tidak tahu kenapa budak-budak sekarang kemaruk cupcake. Kalau kamu tak tahu, cupcake hanyalah kek-kek bersaiz kecil yang dimasukkan ke dalam acuan kertas. Biasanya akan dihias dengan elemen-elemen design yang ‘cool’, seperti gambar tengkorak, petir ataupun gambar hati. Malah aku pernah nampak cupcake bergambar zakar. Memang ‘cool’. Tapi aku memang kurang gemar kek dan icing, jadi aku tidak pernah suka cupcake.

2. Label Kemeja-T
Tahun lepas merupakan tahun di mana ramai anak-anak Melayu kita mulakan aktiviti perniagaan besar-besaran. Dari cupcake sehinggalah ke kemeja-T, terutamanya kemeja-T. Label-label kecil yang mengeluarkan kemeja-T rekaan sendiri tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan (ayat gila cliché) sampai bergabung bersama mewujudkan Angkatan Baju Malaya. Syabas aku ucapkan tapi harap jangan sekerat jalan sahaja, ya?

Aku lihat memang boleh tahan rekaan-rekaan mereka ini semua, memang cukup kreatif, tetapi aku rasa boleh dipertingkatkan lagi, terutamanya dari segi kualiti cetakan dan fabrik. Kalau nak dibandingkan kita masih lagi jauh dari segi ini kalau kita lihat label-label kemeja-T dari Bangkok, misalnya.

3. Fesyen Acuan Topman.
Kemunculan francais Topshop/Topman memang ditunggu-tunggu di Malaysia. Misalnya sebelum 2007, seluar jeans ketat hanya dikaitkan dengan mamat rockers yang ketinggalan zaman. Sekarang, terima kasih kepada Pete Doherty, tiada sangsi lagi bahawa skinny jeans (yang dipadankan dengan kasut berwarna putih yang meruncing di hadapan) adalah aksesori penting untuk anak-anak muda fashionista di Lembah Kelang. Tapi ingat, skinny di sini bermaksud kurus jadi hanya sesuai untuk mereka yang tinggi dan kurus. Yang ketot dan gempal jangan cuba, walaupun skinny jeans yang kamu idamkan itu sedang ada potongan harga 50% di kedai Topman.

Selain dari skinny jeans, shemagh ataupun skaf Al-Qaeda/Arab/Pak Lebai memang popular hingga sekarang. Pada awalnya digunakan oleh Yasser Arafat sebagai simbol kebebasan Palestin dan PLO, tetapi kini digunakan oleh ramai anak muda sebagai pemanas leher, walaupun Malaysia ini pada amnya sudah pun panas.

Mungkin secara amnya kedai Topman boleh dikatakan catalyst atau pemangkin kepada citarasa fesyen remaja di Lembah Kelang, cuma aku perlu katakan di sini kamu perlulah kreatif sedikit, kalau tidak kamu hanya akan kelihatan seperti berpakaian ala katalog Topman. Atau iklan Topman Jawa.

4. Kamera DSLR Di Leher.
Sekarang memang tak cukup dengan kamera compact. Harus lengkap dengan kamera canggih DSLR yang wajib digantung di leher ke mana-mana pun, walaupun mungkin tidak faham apa itu aperture, shutter speed dan ISO. Janji ada akaun Flickr.com yang penuh dengan gambar-gambar untuk pool Flickrmalaysia seperti gambar-gambar perbarisan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, gambar-gambar kavadi semasa Thaipusam dan gambar-gambar yang diambil di acara yang aku sebut di nombor 5 di bawah ini.

5. Gig Fesyen.
Jadi di mana jika kamu ingin lihat golongan 1-4 di atas? Pergi sahaja ke mana-mana gig (maaf, fahaman bahawa gig = black metal sudah kolot, jadi lupakan itu semua, ya?) yang bukan sahaja tertulis dengan nama-nama band yang akan membuat persembahan, tetapi juga nama-nama label kemeja-T yang akan ‘buka meja’ di sana. Kalau nasib baik kamu mungkin akan dapat melihat seorang pelajar kolej berbaju Kurasaraksasa berseluar skinny jeans, berkasut runcing dan shemagh terlilit di leher dengan kamera DSLR sambil memakan cupcake.

6. Facebook.
Kalau kamu hanya kenal Myspace, bagus, sila bertenet di sana sahaja, terima kasih.

7. Hujan.
Kamu yang mungkin kurang kenal dengan arena muzik indie di Malaysia mungkin tidak kenal Hujan, tetapi Hujan, pada pendapat aku-lah, adalah fenomena terhebat tahun lalu. Walaupun menggunakan formula muzik yang dipinjam dari band-band barat seperti The Strokes, band pimpinan Noh ini merupakan sesuatu yang mampu (ataupun mungkin telah) menggegarkan arena muzik tanahair. Dengan fan support dari peminat-peminat yang digelar Raingers dan persembahan atas pentas yang padu aku pasti cerita Hujan tidak akan berakhir di sini saja. Kalau kamu tak kenal (dan aku kasihankan kamu jika begitu), lihat saja klip Youtube persembahan mereka di Muzik-Muzik baru-baru ini.

Hujan, serius, aku tabik kamu.

8. Kami.
Implikasi sosial drama bersiri mudah tentang kehidupan remaja di dalam arena muzik indie ini mungkin lebih besar dari apa kita semua pernah jangkakan. Aku rasa sedikit sebanyak kenapa senarai dalam nombor 1-7 di atas mendapat perhatian adalah sebab rancangan tv ini. Aku selalu bayangkan bagaimana seorang pelajar sekolah berumur 16 tahun di kampung dekat Bagan Serai akan tergerak hati untuk meniru apa yang ditontonnya di dalam rancangan tv ini. Juga apa kata ibubapa-ibubapa yang mungkin ingin tahu apa yang dibuat oleh anak-anak remajanya.

Aku berharap secara keseluruhannya rancangan ini dapat sama sekali menghancurkan modal Harian Metro bahawa anak remaja semua hisap dadah dan lakukan seks beramai-ramai semasa gig. Atau ‘gigs’ kata mereka. Haih.

9. Motorsikal Berjet.
Aku rasa kamu pasti pernah dengar ketika berada di tengah jalanraya. Bunyi seakan-akan kapalterbang jet F-18, tetapi rupa-rupanya hanyalah motorsikal berkuasa 110CC yang bingit. Memang buat bingit. Siapa punya idea entah. Hilang keamanan betul.

10. Blog Bahasa Melayu.
Aku rasa kita patut berterima kasih kepada Encik Ahmad Kamal Abu Bakar, yang aku rasa telahpun memadam blog beliau buat kali keberapa entah, aku pun sudah lupa. Aku rasa bukan apa, sebab memang susah untuk meluahkan perasan di dalam bahasa yang tidak cukup perkataan (maaf Dewan Bahasa dan Pustaka, aku tahu kamu semua sedang bekerja keras di bangunan kamu yang terlalu hampir ke bahu jalan itu…) tetapi kelebihan utama blog dalam Bahasa Melayu hanya penting jika aku fikirkan target audience aku.

Aku lupakan audience antarabangsa, tapi aku tumpukan kepada orang yang mungkin betul-betul akan mendapat faedah (faedah ke?) bila membaca nukilan-nukilan aku. Mungkin.

Ok, sambung kerja.

Popularity: 4% [?]