Aku telah diletakkan dalam situasi yang agak kekok hari ini.
Minggu lepas, aku telah menerima pelawaan dari The British Council untuk menjadi panel dalam forum tentang teknologi muzik muat turun dan cara-cara alternatif untuk jualbeli muzik menggunakan internet. Jadi aku pun setujulah, disebabkan aku sedikit sebanyak mempunyai pengalaman tentang perkara yang akan dibincangkan, dan aku memang banyak menggunakan teknologi terbaru internet di tempat kerja.
(Aku hairan kenapa British Council di Malaysia yang banyak membuat program-program sebegini, yang khas untuk menggiatkan kegiatan seni dan muzik tempatan. Walhal kalau nak diikutkan sepatutnya Kementerian Kesenian dan Warisan yang sepatutnya aktif menjalankan kegiatan-kegiatan sebegini. Syabas, British Council Malaysia!)
Forum ini sebenarnya dianjurkan sebab kehadiran seorang usahawan muzik internet dari United Kingdom yang boleh dikatakan berjaya dalam perniagaan, yang dipanggil khas oleh British Council di sini untuk berkongsi idea dan pengalaman beliau.
Dipendekkan cerita, aku akhirnya duduk di meja, sebaris dengan usahawan dari UK tadi, seorang rockstar yang kini CEO syarikat telekomunikasi baru yang bakal muncul Julai ini dan dengan seorang hakim rancangan ‘One In A Million’ yang juga pengarah besar bahagian hiburan konglomerat media di Malaysia, bercakap dan meluahkan buah fikiran tentang industri muzik tanahair dan kerelevanan model perniagaan muzik di internet di hadapan hadirin yang tidak berapa besar, tetapi terdiri daripada beberapa nama besar muzik tanahair dan taiko-taiko industri hiburan negara.
Aku rasa ini mungkin kali pertama aku berbual tentang muzik dan berpeluang memberikan pendapat aku tentang muzik di Malaysia di dalam konteks yang amat berbeza.
Cuma aku rasa nama-nama besar ini tidak mungkin akan merubah arena muzik di sini. Itu semua tanggungjawab kamu, kamu yang membaca blog aku hari ini. Kamu di luar sana.
Cuma aku sedih sedikit tadi, kerana tiada langsung wakil media massa tempatan yang hadir di forum tersebut pagi tadi. Mungkin sebab tiada Erra Fazira, Siti ataupun Mawi. Atau selebriti murahan lain yang boleh ‘diterjah’. Memang sedih.
Popularity: 2% [?]