September 12, 2008 16

Tanya Abang Minimalis: Musim 4 Episod 1

By in Tanya Abang Minimalis

OK, kali ini banyak juga soalan-soalan yang boleh tahan menarik. Jadi, aku sebagai penulis blog yang bertanggungjawab akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dan akan menjawab soalan-soalan kamu dengan sebaik mungkin. Ingat, semua jawapan adalah subjektif, dan semuanya berdasarkan pendapat aku ya? Kalau kamu kurang bersetuju, sila tinggalkan komen. Kalau masih tidak bersetuju dan betul-betul tidak puas hati, sila buat blog sendiri.

Dila bertanya…
kenapa encik MM gemar mengambil gambar kaki dan berminat dengan apa-apa berkaitan kaki? kasut, contohnya..

Kerana kaki itulah pengantara antara sifat kita sebagai manusia yang ego dan riak dan realiti sebenarnya iaitu kita semua masih berpijak di muka bumi ini. Bak kata Casey Kasem si pengacara rancangan America’s Top 40 dahulu, “Keep reaching for the stars, but keep your feet on the ground.”

Ahmad Adib bertanya…
Wahai saudara MM,
Saya pasti yang saudara MM menghabiskan zaman kanak-kanak pada tahun 80an. Jadi soalan saya, bolehkan saudara menyenaraikan kartun-kartun kegemaran saudara? Top five lah kalau boleh. Ingin sangat mengetahui ‘taste’ animasi kegemaran saudara…

Boleh. Tanpa apa-apa susunan tertentu, Top 5 aku untuk siri animasi kegemaran adalah…
1. Fangface

2. Centurions

3. Space Ghost

4. He-Man & The Masters Of The Universe

5. Meatballs & Spaghetti

Ini tidak termasuk siri-siri animasi atau anime dari Jepun tau! Cerita Lain.

Hanna The Belgariad bertanya…
bila nak kawin?

Lagi dua tahun, insya-allah.

Tipu Tapi Benar (TTB) bertanya…
Sekiranya MM sudah bosan hidup di KL dan balik ke kampung untuk meneruskan hidup, apakah pekerjaan yang akan MM usahakan di kampung serta aktiviti seharian yang MM lakukan demi meneruskan kehidupan dan memberi impak kepada masyarakat kampung?

Perusahaan membela lintah untuk penggunaan perubatan. Permintaannya memang amat tinggi sekarang, terutamanya dari hospital-hospital dan pusat-pusat perubatan di negara Barat dan Jepun. Dan dari sini aku akan melatih orang-orang kampung untuk pandai berfikir di luar otak, serta pandai menerkam segala peluang perniagaan yang mungkin wujud di kawasan kampung, terutamanya yang berkenaan dengan pertanian, perladangan dan penternakan. Tapi yang paling penting ialah memupuk orang kampung mengekalkan mutu kerja dan hasil kerja yang bagus, tidak kisahlah apa yang dikerjakan mereka. Aku rasa dengan peningkatan mutu, dan seterusnya pengekalan mutu serta kawalan mutu apa-apa produk yang kita usahakan akan berjaya.

young team bertanya…
MM, pada pandangan kamu, untuk seseorang dlm umur linkungan awal 20-an, dimanakah patut kita berada dari segi fikiran, sosial, etc etc. contohnya, buku apa yg patut kita sudah baca pada umur ini. muzik, filem dan sbgnya. tahap knowledge apa yg perlu kta sematkan di dada. soalan ini mmg sgt subjektif. tapi cuma ingin tahu pandangan MM. sbb blog abg KT dan jack takde ruangan mcm ini. haha!

Mudah sahaja. Baca dan selami apa segala yang dilarang oleh ibubapa/guru/ustaz/abang angkat kamu ketika kamu membesar. Bukan untuk memberontak, tetapi untuk sedikit sebanyak memahami bukan sahaja cara pemikiran masyarakat kita, tetapi cara masyarakat lain melihat dan menilai kita. Dan aku pasti setelah banyak membaca kamu semua pasti dapat menilai yang baik dan yang buruk, dan sekurang-kurangnya orang di sekeliling kamu tidak boleh melabel kamu sebagai katak di bawah tempurung. Juga cuba berkawan dengan orang yang biasanya kamu tidak akan tegur pun, ataupun orang yang berfikiran bertentangan dengan fikiran kamu. Mungkin cara ini lebih mudah dari membaca buku. Tapi ingat, kamu perlulah mencari identiti kamu dan kenal diri kamu dahulu, dan kemudiannya kamu bolehlah menilai sematang mana cara fikiran kamu itu. Yang penting jangan tutup minda kamu kepada sebarang kemungkinan. Sebab segala apa input yang kamu perolehi di luar sana semuanya pengetahuan beb, tidak kisahlah baik atau buruk. Terpulang kepada diri kamu untuk menilainya, bukan?

zaX bertanya…
Kenapa muzik perlu dilabel? Kenapa manusia sering meletakkan label pada sesuatu?

Allah S.A.W telah berfirman, “Maka aku jadikan kamu berkaum-kaum dan berpuak-puak, agar kamu boleh berkenalan antara satu sama lain.” Aku rasa ini boleh digunakan bukan sahaja untuk kaum dan bangsa, tetapi mungkin juga untuk segala benda yang boleh dilabelkan. Bayangkan anugerah Grammy ataupun Anugerah ERA tanpa genre muzik. Kemalut dibuatnya.

Azreen Zzz bertanya…
saya ni baru pindah ke singapura. agak terkejut melihat kaum melayu yang agak mundur dari banyak segi. jadi di sini saya nak tanya, sebab saya tak sure la kan, apa maksud rempit dan konsepnya di negara ekonomi maju?
maaf kepada pembaca2 blog ini dari singapura.

Rempit seperti di Malaysia ini tidak wujud di negara-negara maju. Mungkin wujud, tetapi mereka sekurang-kurangnya mampu bermotorsikal kuasa besar. Jadi istilah rempit di negara maju mungkin tidak relevan. Pada pendapat aku rempit wujud akibat jurang besar yang wujud di antara golongan pertengahan dan golongan bawah. Tidak mampu untuk membeli jenis pengangkutan lain, dan kurang diinspirasikan untuk membuat arahtuju kehidupan yang lebih berguna. Bukan salah mereka mungkin, sebab aku rasa persekitaran mereka adalah satu faktor yang penting. Apa yang perlu ada sekarang ialah melupuskan jurang tersebut. Kita wujudkan pula jurang (yang sempit) antara golongan pertengahan atas dan pertengahan bawah, dan kemudiannya golongan miskin kronik. Sedikit sebanyak aku rasa Singapura telah mencapai objektif ini, sebab jarang kita dapat melihat golongan termiskin di sana. Aku rasa ini semua perihal cita-cita peribadi, rangsangan serta dorongan untuk berjaya dan persekitaran positif untuk berjaya. Pada aku golongan ini semuanya golongan yang tidak mempunyai cita-cita untuk maju, sekadar menguji berapa laju enjin 110cc mereka boleh dibawa di jalanraya.

Syah Saliman berkata…
dok temasik lagi seronok kan mm? tandas bersih.jln bersih.tak ada org ludah2.sng nk cr sushi halal dan dan dan dan dan girls x yh mask national srvse.

wek,i got pee-ell-kay-anne

mujjin bertanya…
MM, mampukah kau buat post dengan cara ejaan macam syah saliman ni?

i know its not a question, but its a dare.

xleh lar.

Mo. bertanya…
abang MM, saya seorang budak dari Petaling Jaya yang belajar di UiTM. soalan saya ialah. Kenapa permain backstab meng back stabbing (cakap belakang, tikam belakang, umpatan, fitnah) banyak di praktikkan oleh org org di UiTM? sebijik macam drama drama di dalam TV yang di minati oleh most suri rumah. padahal masa saya bersekolah di PJ dan bersekolah menengah di Damansara sy tidak pernah encounter benda benda macam ini. apa pandangan abang MM?!

oh. anda berminat tak dengan kasut reebok edisi tiesto berwarna putih.hijau dan kuning. ya?

Ini sebab di UiTM bulatan sosial kamu telah berubah. Di UiTM kamu akan bergaul dengan orang-orang yang kamu tiada kaitan langsung semasa di sekolah di PJ/Damansara. Apa yang dianggap normal ketika kamu di sekolah mungkin dianggap serong di kalangan pelajar-pelajar yang berasal dari kawasan luar bandar, ataupun di kawasan yang struktur sosialnya berbeza langsung dari apa yang kamu sudah biasa. Yang penting kenal diri sendiri, dan jangan lupa kata-kata hikmat blog ini. Tapi macam aku kalau ada lelaki panggil aku ‘bro’ aku memang rasa nak tampar sahaja.

Aku tak minat trance-lah.

enamdegrees bertanya…
kenapa si jahat muncul dengan banyak bila ekonomi gawat?

Sebab masalah kewangan akan membuatkan sesiapa pun rasa terdesak. Akibatnya si jahat akan lebih mudah mengambil peluang. Kerana manusia yang terdesak sanggup melakukan apa sahaja untuk kesenangan diri, bukan?

Rhona Zlan bertanya…
sekejap! barangan eksklusif blog Aku Tak Peduli© tu barang apa?

G-string, push-up bra, stokin, kasut sneakers, bikini.

Seyn bertanya…
apa tafsiran perempuan secara puisi bagi anda

Enjit-enjit semut,
Siapa sakit naik atas,
Enjit-enjit semut,
Siapa sakit naik atas,
Enjit-enjit semut,
Siapa sakit naik atas,
Enjit-enjit semua,
Siapa sakit naik atas…

Nanti bila aku sudah benar-benar faham perempuan aku akan buat tafsiran betul-betul ya?

Yin bertanya…
Jika MM diberi peluang.. era/zaman/generasi apakah akan MM pilih untuk hidup? dengan pemikiran MM pada zaman kini.

Mudah. Zaman kegemilangan tamadun kuno kira-kira 1500SM. Tidak kisahlah, tamadun Mesir, Maya, Inca dan sebagainya. Secara amnya tamadun-tamadun yang mula-mula memahami konsep waktu, matematik dan pembinaan piramid ataupun ziggurat. Sebab aku ingin sangat melihat cara kehidupan manusia zaman itu, tanpa internet, iPod, Nike mahupun McDonald’s.

Amri bertanya…
kajian science politik di U tempatan menunjukkan walaupun pengundi itu yang tak amanah,kuat makan rasuah,tak jujur mereka tak boleh menerima pemimpin yang sama sifat dengannya atau lebih buruk darinya

Sudah tentu. Kalau kamu memilih manusia yang lebih buruk sebagai pemimpin kamu akan lebih teruklah dunia yang kamu diami. Lihat sahaja contoh seperti Shoko Asahara, Jim Jones dan Charles Manson. (Ya, aku baru sahaja menonton rancangan ‘Most Evil’ di Discovery Channel tadi.) Tapi kalau aku baca soalan kamu semula, mana soalannya?

amilah bertanya…
cara belajar fizik yang paling best untuk dapat A? di sekolah mungkin. erk

Kualiti bukan kuantiti. Pastikan kamu dapatkan rehat yang secukupnya, buat persediaan untuk peperiksaan bukan di saat-saat terakhir, dan makan gingko biloba serta tempeh.

.khairi. bertanya…
nak tanya jugak..
apa pandangan MM tentang aliran musik yang bermusim..
contoh macam genre emo,memang sekarang pun ada orang duk layan lagi..tapi,semakin senyap bukan..
dan satu contoh lagi, new metal zaman 90an dulu..
tidak kah abang MM terfikir yang genre pos rok ynag menusuk kalbu sekarang ini akan menimpa nasib yang sama?akan tenggelam?hanya bermusim?apa pandangan kamu..

Pada aku aliran ini bukan terhad kepada muzik sahaja. Fesyen juga misalnya. Cuma terpulang kepada kamu untuk memastikan berapa taatnya kamu kepada aliran. Sebab semati manapun sesuatu genre muzik itu, idealis muzik tersebut pasti akan tetap memperjuangkan apa yang diminatinya. Lihat Dragon Red dan nu-metal misalnya.

the blackpaper bertanya…
Adakah kerjaya anda sebagai ahli fizik nuklear dipengaruhi oleh mana-mana pergerakan seni/rekabentuk/senibina seperti Swiss Style yang terkenal dengan typeface Helvetica dan juga Univers. Mungkin juga sekolah Bauhaus yang terkenal sebagai pusat seni yang menghasilkan beberapa icon dalam bidang seni/rekabentuk seperti Barcelona Chair oleh Ludwig Mies van Der Rohe mahupun typeface Universal yang direkabentuk oleh Herbert Bayer pada tahun 1926.

Dan jika kerjaya anda tidak dipengaruhi oleh mana-mana pergerakan/idea/kumpulan seni/rekabentuk, apakah pula pandangan anda pada bidang rekabentuk/senibina/seni di Malaysia. Bolehkan kita mencapai satu tahap seperti Bauhaus yang melahirkan tokoh-tokoh dan juga mempengaruhi bidang rekabentuk pada satu masa dulu. Semuanya di bawah satu bumbung. Tidak kiralah mereka itu jurufoto, perekabentuk grafik, arkitek mahupun lain-lain ahli seni. Apakah pandangan Saudara MM.

Terima kasih.
A.Z.H.

Aku memang terpengaruh dengan idealogi Situationist International, yang diperjuangkan oleh sekumpulan kecil pemikir politik dan artistik avant garde yang aktif di dalam tahun 1960an dahulu. Walaupun tidak menjurus kepada mana-mana gaya rekabentuk yang tertentu, aku tertarik dengan idealogi yang memutikkan idea-idea kreatif mereka. Aku mengaku aku masih mendalami idea ini, tetapi buat masa ini aku cuba sedaya upaya untuk menghasilkan hasil kerja di bawah doktrin Situationist ini. Soyez réalistes, demandez l’impossible!— “Jadilah realistik, minta yang mustahil!” kata mereka.

Ya, aku juga banyak terpengaruh dengan gerakan Swiss Style tahun 1950an dahulu, terutamanya karya-karya Josef Müller-Brockmann dan Armin Hoffman, yang lebih berkonsepkan rekabentuk perhubungan. Dan semua perekabentuk yang aku suka juga banyak terpengaruh dengan gerakan ini, seperti Peter Saville dan Neville Brody. (Neville Brody akan turun Malaysia tidak lama lagi, dan aku telah diberi peluang untuk menemuramah beliau, kita lihat bagaimana nanti, ya?)

Pada aku, seperti gerakan Swiss Style sebelum ini, aku rasa perekabentuk Malaysia tidak mustahil untuk mencipta sesuatu yang sama sekali baru di dalam bidang rekabentuk grafik/fotografi dan fesyen misalnya. Tetapi di sini, terlalu ramai perekabentuk masih meletakkan nilai-nilai estetik terdahulu dari fungsi. Pada aku rekabentuk perhubungan (communicative design) adalah rahsia yang perlu diamalkan oleh mana-mana perekabentuk, dan sebagai seorang perekabentuk apa yang penting adalah mesej yang perlu disampaikan. Aku rasa selagi kita gagal untuk kenali formula imbangan estetik dan fungsi ini, selagi itulah kita tidak akan maju. Tidak mustahil, sebab segala idea baru manusia ini hanyalah idea lama yang disegarkan, bukan?

DragonRed bertanya…
tumpang tanya. kenapa new metal lagi best daripada post rock? sekian terima kasih

Sebab nu-metal boleh dapat tajaan Adidas dan Nike. Aku rasa album pertama Korn dahulu memang bagus, dan berani berdasarkan senario muzik ketika itu. Masalahnya ialah segala apa hasilan di bawak naungan genre nu-metal selepas itu tidak banyak berevolusi dari hasilan muzik pada peringkat awalnya. Masalah yang sama juga telah berlaku kepada genre digital hardcore dan UK garage, misalnya. Tiada suntikan idea-idea baru yang boleh dibanggakan, dan akibatnya muzik itu tidak berkembang. Sejauh mana post-rock boleh berkembang, kita lihat sajalah, tetapi kelebihan post-rock di sini ialah terdapat terlalu banyak definisi kepada apa yang boleh dikategorikan sebagai post-rock. “A non-genre“, kata pengkritik-pengkritik muzik.

OK, selamat bersahur semua!

Popularity: 2% [?]

16 Responses to “Tanya Abang Minimalis: Musim 4 Episod 1”

  1. Ferdows says:

    MM,
    aku setuju dengan pendapat MM yang gejala rempit berlaku kerana jurang besar, kurang diinspirasikan atau menginspirasi, persekitaran etc.

    Aku mahu tulis post panjang lebar berserta contoh boleh?
    hahah

  2. Marzuki says:

    Mengantuknya mata nak baca, perut pun sudah kembung.

    nanti aku baca lagi.

  3. O my love says:

    bagus betul cara penyampaian jawapan.

    teruja.

  4. sham o))) says:

    soalan paling last tak tahan tue.

  5. Rhona Zlan says:

    wow. hadiah yang ditawarkan sungguh menarik.

  6. young team says:

    good answer there! thanks a lot.

    oh, lagi satu, mungkin soalan peribadi, MM pernah mention abg MM dlm nukilan2 MM sebelum ini. semasa MM membesar, adakah MM terpengaruh dgn sifat abg MM?

    aku jarang membaca novel2 atau buku2 yg bagus. tapi aku suka baca biography author2 yg bagus. mcm, aku lebih suka baca biography martin luther king drpd membaca perjuangan MLK nih. aku lebih suka baca mcm mana albert camus membesar dan sejarah hidup dia, drp membaca buku2 dia. haha.

  7. enamdegrees says:

    terima kasih.

    saya amat puas hati dengan jawapan MM.

    kini saya tahu dalam banyak blog tempatan ada blog yang bagus untuk dibaca.

    yang lain hanyalah mengenai politik, seni, seks, apa yang dimakan semalam dan kucing.

  8. aficiozado says:

    MM, ada pembetulan ..

    Selepas Allah sepatut s.w.t.. bukan S.A.W..;)

  9. Melayu Minimalis says:

    @aficiozado
    bagus! aku ingatkan tak ada orang perasan huhu.

  10. bukan nama sebenar says:

    kau saja2 ke letak saw instead swt supaya org perasan? hurm..

  11. farah says:

    adakah azreen zzz itu azreen zaharin?
    ehehhe

  12. farridhusin says:

    MM
    aku kagum dengan pandangan kamu terhadap soalan A.Z.H.

    gaya percakapan kamu juga sama seperti pansyarah aku kini.

    aku masih mendalami teori senibina. dan aku rasa saudara AZH bukanlah asing dengan bidang ini kerana terdapat nama segelintir Arkitek terkemuka yang telah diutarakan.

    tapi point utama aku disini ialah,
    jika kamu seorang arkitek.mungkin kamu telah meyakinkan client kamu dengan hujah seperti itu.

    good answer.

  13. zaX says:

    Terima kasih. Sebab soalan itu timbul akibat daripada perbalahan kenapa ada beberapa kugiran (betul² rancak dan ribut)yang bermain”genre” grindcore, mince core, ntahapa² core lagi dilabel sebagai black metal (oleh masyarakat Malaysia “umumnya”) dan technical death metal. Pening, pening.

    Habis tu United Nations main apa pulak?
    *garu kepala*

    lain orang, lain tafsiran (bak kata bebudak Malaise, PP)

  14. Melayu Minimalis says:

    @Zax
    senang cerita genre tak penting. asal kamu suka muzik itu sudah.

    @farridhusin
    terima kasih. aku memang selalu tolong final year student dengan thesis mereka pun.

  15. Fariz Bakar says:

    Kenapa muzik perlu dilabel? Kenapa manusia sering meletakkan label pada sesuatu?

    Allah S.A.W telah berfirman, "Maka aku jadikan kamu berkaum-kaum dan berpuak-puak, agar kamu boleh berkenalan antara satu sama lain." <—- i love this answer!

  16. Anna says:

    Apa pendapat MM mengenai trend pemuda-pemudi kini yang membeli kamera dslr dengan lensa yang mahal, saya makin meluat dengan mereka yan bergaya seperti jurugambar profesional tapi hasilnya macam haram. Gemar berkumpul di kedai-kedai mamak sambil menunjukkan koleksi kamera mereka. Golongan ini boleh dikenali jika mereka pergi di mana-mana tempat dengan membawa beg galas kamera.

Leave a Reply

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes