December 5, 2008 9

Tanya Abang Minimalis: Musim 7 Episod 1.

By in Tanya Abang Minimalis

Orang semua berparti sakan di BarSonic tapi aku layan internet seorang diri di restoran mamak menjawab soalan-soalan kamu. Begitulah lumrah dunia.

Diloz bertanya…
1)dalam keadaan ekonomi semasa,elokkah sambung study atau ambil 2nd degree atau terus kerja?
2)selain Msia,mana kau rasa paling menarik.sebab?
3)sehari kau mandi berapa kali?

1) Aku rasa tiada kaitannya. Semuanya bergantung sama ada kamu sudah bersedia untuk berdikari dan mencari nafkah sendiri. Yang lain-lain semua tak berkaitan. Sebab sama ada ekonomi buruk ataupun tidak semua orang masih kena cari makan, bukan? Lagi-lagi kalau kamu akan bekerja di dalam industri yang tidak terpengaruh dengan gerakan ekonomi sedunia. 2) Jepun. Kamu sudah di sana pun (tak silap aku.) Sebab di sana banyak stimulasi untuk minda, dan yang penting sekali pada aku bahasanya indah. Cuma kamu kena belajar ‘berfikir’ dalam bahasa tersebut, dan kamu akan dapati sedikit sebanyak cara kamu berfikir akan berubah. Pada aku berada di dalam situasi di mana kamu berpeluang untuk ‘berfikir’ dalam bahasa lain amat berguna untuk melepaskan minda dari perangkap pemikiran ‘selamat’.
3) 2 kali. 3 kali kalau hari panas sangat.

Tipu Tapi Benar (TTB) bertanya…
Boleh MM ceritakan tentang sistem rangkaian/spesifikasi perkakasan komputer yang MM impikan (untuk kegunaan di rumah)?
Apakah sistem rangkaian/ spesifikasi pekakasan komputer yang dipunyai MM buat masa sekarang?

Aku pakai iBook G4 sahaja sekarang di rumah, dengan dua external hard drives, satu 160GB, satu lagi 200GB kalau aku tak silap. Aku ada rangkaian sendiri di rumah, di mana aku hanya perlu mencucuk kabel ethernet ke port di dinding untuk mendapatkan perkhidmatan Internet, walaupun sistem rangkaian itu tidak aktif sekarang. Aku pernah mempunyai rangkaian 5-6 biji komputer di rumah yang aku buat bersama rakan-rakan serumah, yang semuanya ketika itu berkongsi satu talian Internet dial-up! Aku perlukan Macbook Pro. Pada aku spesifikasi tentang kelajuan cip semua tidak penting. Yang penting ialah sistem operasinya, dan pada aku, aku memang kaki Mac OS X. Bulan depan aku akan dapat Macbook Pro. Percuma. Insyaallah.

mamat khalid palsu berkata…
MM sebenarnya adalah gabungan beberapa bloggers yg berkongsi satu ruang bebas untuk menulis, tetapi mengapakah irman klphq shj yg disebut2 atau disalak2 sedangkan beliau hanyalah ahli yg paling tidak aktif, mereka tidak tahukah ada lagi 5-6 orang lagi yg terlibat di sebalik tabir ATP.blogspot ini?

Blog ini mempunyai 25 orang di dalam sidang redaksinya, termasuk koresponden-koresponden antarabangsa yang berada di Rawang, Sungai Petani dan Mumbai. Cara kami bekerja sebenarnya begini—semua koresponden ini akan menghantar draf pertama nukilan mereka kepada si editor, yang akan membuat suntingan dan kemudiannya akan menghantar hasil suntingan kembali kepada koresponden tersebut, termasuk dengan cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan nukilan. Setelah proses ini, koresponden-koresponden kami yang selalu bekerja di dalam situasi yang bahaya dan memudaratkan akan menghantar draf terakhir yang akan diterbitkan oleh editor di dalam blog ini. Proses ini akan berlaku di dalam 24 jam, mengikuti jadual penerbitan yang ditetapkan oleh NGO-NGO yang membayar gaji kami tiap-tiap bulan. Di setiap penghujung bulan, koresponden yang menghantar nukilan terbanyak yang diterbitkan akan menerima bonus, duit minyak motor, kasut yang sedondon dan servis urut tradisional percuma.

Pecah Kepala bertanya…
sekiranya mm sedang menunggu keputusan SPM, apakah jenis part time job yang mm akan pilih?

Aku dahulu bekerja sebagai technician komputer ketika menunggu keputusan SPM. Aku rasa pada tahun 2008 ini pilihan-pilihan seperti rockstar dalam band indie, model sambilan pakaian pengantin atau pertunjukan rambut, ataupun peserta rancangan TV realiti adalah lebih popular. Jangan jadi penulis blog, sebab pulangannya memang tidak berbaloi.

jajabinks bertanya…
hi abang minimalis.
1. siapa blogger selebriti kegemaran, and why?
2. raya haji nanti sambut di mana?

1) John Hafiz (maaf tiada pautan. Aku rasa dia perlukan privasi. Hu hu), sebab dia comel. Lagi pun pada aku dia betul-betul mempunyai sense of humour, tetapi serius ketika menjalankan kerja. Aku tabik.
2) Aku beraya di Selatan.

joe jambol bertanya…
tanya sama MM.
1) apakah rasa arak? aku tak pernah minum, tak pernah mahu minum, tapi amat curious sekali mahu tahu. sila jangan jawab dengan jawapan “cuba sendiri”.
2) terima kasih.

1) Orang minum arak bukan untuk rasa, hanya untuk mabuk. Kalau untuk rasa aku rasa semua orang akan minum. Akibat dari ini ramai orang mabuk tidak akan ingat rasa arak.
2) Sama-sama.

Tora Aman bertanya…
Hai MM.
Soalan saya,
1.Suratkhabar manakah yang paling berbaloi untuk dibaca dan adakah MM membaca suratkhabar?
2.Boleh tak listkan perkara-perkara penting yang tidak boleh kita terlepas pandang atau terlupa jika hendak ke luar negara untuk belajar dan melancong?
3.Ada tak website yang menyediakan proses pembelajaran yang menyeronokkan untuk subjek sains dan matematik?

1) Tiada suratkhabar yang berbaloi untuk dibaca, sebab walau sebagaimana impartial pun kewartawanan mereka, di Malaysia tiap-tiap penerbitan ada kepentingan yang harus dijaga. Tetapi kadangkala menarik membaca berita-berita yang menjaga kepentingan sesuatu pihak, janji kamu sedar kepentingan siapa yang sedang dijaga. Aku selalu baca The Star (sebab tebal dan banyak yang boleh dibaca) dan Harian Metro (untuk melihat taraf kewartawanan professional kita) walaupun suratkhabar yang aku akan beli dengan wang sendiri hanyalah The Star. Dari kecil aku suka membaca The Star sebab ada komik Calvin & Hobbes dan The Far Side.
2) Makanan, jangan takut untuk mencuba. Dan cuba benda-benda yang tidak boleh dijumpai di Malaysia, atau sekurang-kurangnya akan mendatangkan masalah undang-undang jika kamu lakukannya di Malaysia. Kemudian cuba fahami bagaimana orang di sana melihat kamu sebagai orang Malaysia, dan akhirnya cuba alami kehidupan sebagaimana cara mereka di sana tanpa terbendung dengan hakikat yang kamu dari Malaysia.
3) Hmm aku kurang pasti, maaf. Aku jarang menggunakan Internet untuk belajar benda-benda tipikal, cuma benda-benda yang mungkin diharamkan pembelajarannya di Malaysia.

Kurie bertanya…
1 – pendapat kau tentang “novel internet” yg dah lama kat Jepun…
2 – pendapat kau tentang istilah “minum segelas, mabuk setempayang”..

1) Aku lebih gemar mempunyai buku fizikal yang boleh dipegang ketika dibaca. Cuma sekarang aku gemar membaca komik yang dimuatturun dari Internet, sebab harga komik dan novel grafik sekarang semakin mahal. Atas sebab yang semua juga aku mungkin sukar untuk menerima konsep hardwore e-Book seperti Amazon Kindle.
2) Kurang relevan untuk aku mungkin.

Tanpa Nama bertanya…
-Adakah anda membenci mat rempit
-Kenapa anda membeli kereta Proton
-Apa pendapat anda tentang Hishamudin Rais

1) Benci. Kalau boleh aku ingin gilis mereka dengan kereta aku tiap-tiap hari atau suruh mereka jual suratkhabar Malay Mail di tepi jalan. Eh, yang kedua tu mereka tengah buat dengan rela pun.
2) Murah harga dan kos penyelenggaraan serta nilai jualan balik yang boleh diterima. Aku rasa ramai orang membeli kereta Proton dengan sebab yang sama.
3) Tiada pendapat.

tetikus optik bertanya…
Aku ingin btanya apakah mminimalis ini seorg gamer atau anti gamer? kalau seorg gamer, game apkah yg menjadi kegemaran? adkah game2 LAN yg mjadi pilihan para azman spt Counter Strike, Defends of The Ancients, atau game2 online berbentuk RPG atau side-scrolling spt Ragnarok dan Maple Story? atau lebih gemarkan game2 kompleks seperti siri Bioware Neverwinter Nights, Icewind Dale, Heroes of Might and Magic, dan Age of Empire?
kalau boleh sila nyatakan sebab2 dan rasional2 jawapan anda. dan maafkan sy jika soalan ini pernah dtanya org lain sbelum ini.

Soalan menarik. Aku dahulunya seorang gamer, tetapi aku lebih gemar bermain menggunakan konsol dan bukannya komputer. Sekarang akibat kesuntukan masa aku jarang bermain kecuali di pejabat. (Ya, di pejabat aku ada XBox 360). Dari zaman SNES ke zaman XBox 360, kebanyakan game yang aku main adalah tajuk-tajuk dari konsol-konsol yang popular ketika itu. Tahun 1996 dahulu aku lebih suka Sega Saturn (yang kemudiannya lingkup_ berbanding dengan PlayStation, atas sebab game Panzer Dragoon yang aku betul-betul minat. Game yang aku mula-mula main dengan obses ialah Biohazard (Resident Evil di luar Jepun) dan kemudiannya Metal Gear Solid. Aku kurang minat RPG fantasi seperti siri Final Fantasy, tetapi aku minat game jenis first-person shooter, dan pernah ketagih dengan game-game LAN seperti Marathon, Aliens vs Predator dan Counterstrike, ketiga-tiganya game berasaskan komputer dan bukan konsol. Aku berhenti bermain seketika selepas zaman-zaman siri Tony Hawk Pro Skater dan siri Grand Theft Auto (yang aku main dari versi awal lagi sebelum menggunakan enjin 3d mereka sekarang) dan mula bermain semula ketika Katamari Damacy mula keluar dahulu. Game kegemaran aku sekarang ialah Guitar Hero: World Tour. Pada aku siri Guitar Hero amat unik dan memang berjaya menarik minat aku sebagai seorang peminat muzik.

Valentina Ibiza bertanya…
MM,
buku apa yg perlu kita baca untuk menunjukkan yang kita ni cerdik dalam intellectual discourse

Aku rasa cukup dengan membaca sahaja kamu boleh dapat banyak ilmu yang boleh digunakan untuk perbincangan dengan rakan-rakan kamu. Tiada sekatan terhadap apa yang kamu baca, cuma jika kamu membaca benda-benda yang bodoh, kamu perlu tahu yang apa yang kamu sedang baca itu bodoh. Jika apa yang kamu baca itu memudaratkan, kamu juga perlu tahu ia memudaratkan. Dan kesedaran ini tidak akan muncul hanya kecuali jika kamu banyak membaca dan berpeluang untuk membandingkan sumber-sumber bacaan kamu. Kiranya jika kamu membaca buku karangan Penulis A tentang Subjek A, kamu juga perlu membaca buku karangan Penulis B tentang Subjek A, iaitu subjek yang sama. Aku rasa dengan lebih membaca minda kamu akan menjadi lebih subjektif tentang perkara yang kamu baca, dan tidak membuta-tuli mempercayai bulat-bulat segala apa yang dibaca. Mungkin sebab itu banyak buku diharamkan penjualannya di sini, sebab pembaca kita tidak cukup membaca dan akibatnya tidak cukup matang untuk berfikiran secara subjektif.

xFAZx bertanya…
1.sebelum adanya kamera kamera digital,kedai gambar merupakan tempat utama untuk memproses gambar selain memiliki bilik gelap itu sendiri.ianya juga merupakan tempat menjual filem serta tempat untuk menangkap gambar.oleh kerana kamera manual sudah jarang digunakan,dari manakah datangnya keuntungan untuk kedai gambar itu dengan lambakan kamera digital serta mesin pencetak segera?
2. mengapakah sesuatu benda yang dianggap betul sukar untuk ditonjolkan atau ditegakkan?adakah kerana kita malu atau kerana mentaliti masyarakat kita sendiri.
3. semangat kejiranan.adakah ianya masih lagi relevan dimasa hadapan?

1) Tidak silap aku lambakan kamera digital (serta perkakas-perkakasnya seperti kad memori, lensa dan sebagainya) serta mesin pencetak segera merupakan cara yang paling logikal untuk mengaut untung. Kalau kamu perhatikan kebelakangan ini lebih banyak ‘kedai kamera’ dari ‘kedai perkhidmatan berkaitan kamera’. Aku kurang pasti sebenarnya.
2) Sebab ‘betul’ itu subjektif. Dan akan menjadi lumrah untuk seseorang itu akur dengan pendapat umum akhirnya sebab tidak tahan dengan peminggiran dan pemulauan yang dilakukan oleh masyarakat untuk mereka yang mempunyai pendapat yang berbeza. Malah sekarang ianya bukan sahaja berakhir dengan peminggiran/pemulauan, malah ancaman, pemenjaraan dan penyeksaan. Semuanya terpulang kepada individu tersebut, sama ada ingin kekal sebagai lembu yang berpendirian massa atau seorang individu yang berpendirian.
3) Pada aku relevan. Ini untuk memastikan jika kamu tiba-tiba mati nanti di rumah mayat kamu tidak akan terbiar berbulan-bulan lamanya. Jadi kenal-kenalkanlah diri kamu kepada jiran-jiran kamu. Lagi-lagi jika mereka perempuan kurus berbuah dada besar (jika kamu lelaki).

d7 bertanya…
apakah ciri2 tipikal melayu pada pendapat nko?
e.g. dengki bila tgk bangsa sendri berjaya, suka burukkan org lain tanpa tgk diri sendri kat cermin dulu.

lagi satu, aku dah bosan deal dengan lelaki melayu yang tipikal e.g. try nak impress org tapi sebenarnya buat org lagi meluat ngan dia. sila bagi aku cara utk deal dengan mereka yang x faham bahasa ni selain daripada buat tak peduli sbb mereka tak akan faham.

Pada aku secara umumnya Melayu terlalu serius, dan tiada sense of humour dari segi intelek. Sebab itu mungkin humor slapstick lebih popular di media kita, berbanding dengan humor yang memerlukan kamu untuk berfikir. Mungkin sebab itu siri komedi Amerika lebih senang diterima dari siri komedi British di sini, yang pada pendapat aku lebih berunsur dry humour dan bukannya slapstick. Pada aku tiada beza Melayu dengan mana-mana bangsa di dunia ini ketika dilahirkan, yang membezakannya adalah bibit-bibit stereotaip Melayu yang ditanam di hujung akal kita oleh ibubapa dan guru kita sejak kecil lagi. Dan memang agak sukar untuk melepaskan diri dari apa yang diajar kepada kamu sejak kecil bila kamu sudah matang dan dewasa.

Untuk soalan kedua pula agak sukar. Bukan mudah untuk mengguriskan ego lelaki Melayu yang bongkak dan perasan macam aku ini. Aku rasa cara paling berkesan ialah untuk terus tidak mempedulikan lelaki tersebut, dan jangan memberikan apa-apa tindakbalas, baik dari segi fizikal atau SMS/mesej di Internet. Sebab setiap kali kamu memberikan respon, respon tersebut akan digunakan sebagai modal oleh si lelaki tersebut untuk memanjangkan interaksi antara kamu semua. Hentikan segala perhubungan.

badrul bertanya…
eh MM, aku mungkin lambat 100juta tahun, tapi aku nak cakap jugak..sony kluar kan digicam model skinny..haaa, ko kan suke cam nipis2, cekidaut man..10.1mp..
buleh kasik sumbat lam skinny jeans ko tanpe masalah.

Ya aku tahu, kamera model siri T dari Sony. Aku pernah guna model T-2 dari Sony, tetapi aku lebih suka menggunakan kamera compact yang mempunyai ciri-ciri DSLR seperti kamera yang aku guna sekarang.

abang mat tora bertanya…
adakan MM salah seorg peminat kumpulan rock kapak CROSSFIRE drp batupahat? TQ

Aku hanya ingat nama (band rock tahun 80an bukan?) tetapi aku tidak ingat lagu-lagu yang dibawa mereka. Maaf.

#%$*&@ bertanya…
MM,
kat mana lagi ada jual kamera polariod, range harga n kos penjagaan dan pembaikian
Terima kasih

Cuba cari di Cash Converters. Kadangkala boleh jumpa, dan aku pernah jumpa beberapa kali. Mekanisme kamera Polaroid amat mudah, jadi memang jarang rosak dan harga jualannya memang agak murah. Yang mahal hanyalah kos slaid filem Polaroid, yang semakin mahal sebab syarikat Polaroid telah berhenti menghasilkan slaid-slaid tersebut tahun ini.. Tetapi banyak syarikat-syarikat di luar sana yang menyimpan stockpile yang banyak, terutamanya di eBay, dan tidak silap aku masih ada syarikat di Singapura yang menjualnya, walaupun dalam jumlah yang sedikit dan harga yang agak mahal. Mungkin kamu patut cari kamera keluaran Fujifilm yang menggunakan konsep yang sama, tetapi menggunakan slaid filem jenama Fujifilm (yang lain saiznya dari jenama Polaroid) yang sekurang-kurang masih dikilangkan dan dikeluarkan secara besar-besaran.

.theberuk bertanya…
Mungkin Dragon Red dianggap sebagai band nu-metal yang agak poyo bagi saudara MM, tapi saya ingin menanyakan pendapat MM pasal satu band ni.
Dah lama tak dengar khabar band tu. Ramai orang kata lagu dia susah nak digest lah apalah. Apa pendapat MM pasal band KLPHQ?

Aku pernah lihat band ini main sekali, tetapi aku bosan sebab lama tunggu vokalis dia nyanyi tapi tidak nyanyi-nyanyi jadi aku keluar hisap rokok. Bila aku masuk balik ke dalam dewan Dragon Red sedang main jadi aku terus balik rumah. Begitulah kisahnya.

azimpuch bertanya…
salam,
baju melayu, selain bahasa melayu, itulah budaya melayu yang masih tinggal. bukan? adakah MM suka berbaju melayu?

ape pula pendapat MM utk golongan yang gemar memakai baju melayu lengkap bersamping, pada majlis tertentu mahupun tiada majlis.

Aku gemar berbaju Melayu, lagi-lagi baju Melayu teluk belanga. Cuma masalah aku ialah banyak baju melayu menggunakan jenis kain yang tidak sesuai dengan cuaca Malaysia. Aku hanya menunggu baju melayu berteknologi ClimaFit Nike misalnya, yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional Melayu.

OK selamat malam!

Popularity: 2% [?]

9 Responses to “Tanya Abang Minimalis: Musim 7 Episod 1.”

  1. abang mat tora says:

    aku suka jawapan utk theberuk tu hahaaaaahaa vokalis dia bisu apa

  2. Fariz Bakar says:

    aku pernah mimpi minum arak. carlsberg lg sedap dari heineken. rasa dia kelat payau skit. ala sama macam air kelapa yang masam. cuba minum. sebijik!

  3. Tora Aman says:

    MM,bila Episod 2 nak dibuka?Saya ada sikit soalan lagi ni.Huk3

    1.Sebenarnya yang saya maksudkan benda yang tidak boleh terlepas pandang ialah prosedur atau persediaan kerana sekarang ni banyak berita tentang orang Malaysia tertipu dan sebagainya menyebabkan saya sedikit takut untuk ke luar negara.Anyway,thanks for the suggestion.I love food.Heheh.

    2.Apakah benda yang diharamkan pengajarannya itu ya MM?

    Thank you =)

  4. Popo says:

    mm, harap ada sambungan lah.

    1. Apa nak buat kalau kita jatuh hati dekat girlfriend orang lain?

    2. Bagi kau yang dapat study dekat Jepun, kau rasa hidup ini (in general) senang ke susah?

    3. Budaya consumerism (kena beli barang-barang untuk rasa gembira), apa pendapat MM?

    4. MM gembira tak dengan kehidupan MM sekarang? Adakah MM sudah mencapat matlamat hidup atau masih lagi ‘on the way’ ke sana?

    5. Bila harga kereta Honda nak sama dengan kereta Proton?

    6. Apa pendapat MM dengan perkhidmatan penerbangan kos rendah seperti AirAsia/Tiger Airways dan sebagainya?

  5. Diloz says:

    Diloz bertanya…
    1)dalam keadaan ekonomi semasa,elokkah sambung study atau ambil 2nd degree atau terus kerja?

    sebenarnya ada.university aku pernah buat konvensyen tentang ini.cuma aku tidak pasti boleh diadaptasikan di Msia atau tidak.ianya berkaitan pembuangan pekerja dan mengambilaan terhad syarikat-syarikat yang mengambil langkah berhati2 seperti kegawatan ekonomi asia 1998.mungkin masih belum berlaku.mungkin kau ada pendapat.jadi aku bertanya.

    apa-apa pun,terima kasih.

  6. who says:

    jawapan soalan mamat khalid palsu terbaek ah!

  7. John Hafiz says:

    http://primajohnna.tumblr.com

    Thank you, man.

  8. .theberuk says:

    .mampus ah nak tanya jugak

    Apa pendapat MM tentang MLM/Network marketing macam SYN, Lempe Burger & Luxor?

    Kalau rajin silalah cerita benda yang anda rasa orang tak tahu. Mungkin boleh buat satu post pasal binatang ni.

    Terima kasih untuk jawapan kepada soalan saya sebelum ni. Teringin nak jadi vocalist band tu.

  9. Pecah Kepala says:

    terima kasih

Leave a Reply

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes