December 24, 2008 31

Tafsiran ‘Rockstar Terhad’.

By in Tafsiran

Tempohari ketika di pesta pemujaan makanan ringan yang aku sebut di nukilan sebelum ini, ada banyak band-band yang membuat persembahan di atas pentas papan lapis basah yang mempunyai khemah kecil khas untuk si pemain dram. Band-band ini semuanya sedang bertanding untuk memenangi kontrak rakaman di dalam pertandingan yang dianjurkan stesen radio yang hot, tetapi tidak cool. Jadi ketika aku sedang bergelak ketawa melihat aksi-aksi pemuzik ini aku terfikir pula untuk nukilan kali ini.

Aku rasa kamu pasti pernah melihat golongan ini. Malah aku rasa kamu juga kenal seorang dua. Kita mulakan terus.

1. Pemuzik Handal Yang Tidak Handal.
Dalam ramai-ramai golongan pemuzik di Malaysia ini, selain dari pemuzik di pub-pub penuh lelaki berperut buncit, golongan inilah yang paling teknikal dan mahir. Setiap lagu orang lain yand dengan bangga dimainkan setiap kali pada setiap persembahan, akan dimainkan dengan nota dan cara yang tepat, mungkin lebih tepat dari band asal yang memainkannya. Tidak pandai main lagu sendiri, dan kadangkala memang tiada lagu hasil karya sendiri pun. Kalau ada, 95% daripadanya dicilok dari lagu band kegemaran. Akibatnya lebih suka memainkan lagu-lagu popular dari band-band popular lain, biasanya dari luar negara. Lagi pun orang mudah layan bila main lagu orang, bukan? Kiranya macam mesin fotokopi berkesan tetapi versi pemuziklah.

Hobi ketika di depan komputer ialah untuk melakukan time-stretch (sila Google) ke atas fail muzik mp3 agar solo-solo gitar diperlahankan kelajuannya agar mudah untuk ditiru bulat-bulat.

2. Wira-Wira Muzik Kurang Relevan.
Biasanya idola bagi pemuzik-pemuzik yang ingin berjaya sebagai rockstar ini adalah idola-idola yang mungkin telah pun capai tahap populariti tertingginya 10 tahun lalu, dan sekarang aktif di dalam siri-siri konsert nostalgia (yang biasanya dihadiri oleh golongan-golongan Rockstar Terhad ini). Nama-nama seperti Yngwie Malmsteen, Joe Satriani, Steve Vai, Edry Hashim menjadi golongan untuk sesetengah dari mereka ini, dan yang lainnya mengidolakan band-band yang popular suatu masa dahulu di bawah arus muzik ‘grunge’ seperti Pearl Jam, Nirvana dan Stone Temple Pilots dan tidak lupa juga Guns ‘n’ Roses ketika era Axl Rose masih berwajah normal. Tidak lupa juga mereka yang obses dengan genre ‘nu-metal’ dengan lagu-lagu ala Korn dan Limp Bizkit-nya. Akibatnya tiap-tiap kali kamu menonton band-band sebegini kamu selalu teringatkan zaman sekolah (kalau kamu sudah pun bekerja), atau zaman kanak-kanak Ribena (jika kamu masih bersekolah) sebab seakan-akan kamu terperangkap di dalam dimensi masa yang membawa kamu ke era 90an.

Dan manusia sebagai makhluk yang amat nostalgis sudah tentu sukakan sesuatu yang membawa balik memori-memori indah tatkala menerima surat layang berbedak dari peminat rahsia yang tidak dikenali. Mungkin sebab itu popular. Tanya semua Rottwailers.

3. Berfesyen Templat Rockstar Terhad.
Berbaju serba hitam (sebab hitam itu cool, anti-establishment dan tidak mudah kotor), dengan rambut terpacak bergel dan mata bercelak ala si penyanyi nasyid Terengganu yang masuk pertandingan ‘One In A Million’ dahulu (maaf aku lupa namanya). Seluar jeans juga hitam, dan untuk yang mampu akan melabur untuk membeli seluar jeans kulit sebab kulit itu lebih ‘rock’. Tidak lupa juga rantai leher tebal (tetapi tidak setebal rantai leher hiphop) sebagai pelengkap aksesori. Kalau mengenakan pakaian yang mempunyai motif, biasanya akan mempunyai motif tengkorak, hati yang dipanah, grafitti dan sebagainya iaitu sama dengan Mamat 2.0 yang aku tulis sebelum ini. Disebabkan obses dengan barangan kulit (oh ya aku lupa, kasut but hitam itu juga wajib), semua barangan dan aksesori kulit menjadi idaman, lagi-lagi yang berwarna hitam. Tidak silap aku semua barangan-barangan kulit yang dijual oleh kaum Red Indian Melayu (Cerita Lain) di pusat-pusat membeli belah terkemuka negara banyak dibeli oleh golongan ini. Disebabkan tidak cukup wang untuk membeli jaket motosikal kulit hitam, aksesori-aksesori kulit yang lain akan dikenakan, seperti gelang kulit tebal dan tali kasut kulit serta talileher kulit untuk dipakai di konsert-konsert yang lebih formal untuk televisyen seperti konsert Konsert Kemuncak Citrawarna, Jom Heboh dan Konsert Perkampungan Hadhari.

4. Main Gitar Jenama Ibanez.
Ala… Yang tajam-tajam tu.

5. Suka Masuk Pertandingan.
Akibat tidak boleh dibayar untuk melakukan persembahan, ramai di antara mereka ini membuat band yang sanggup membayar wang untuk membuat persembahan, seperti pertandingan ‘Battle Of The Bands’ anjuran kolej-kolej swasta. Walaupun tidak pernah menang, tetapi mereka ini tidak pernah mengaku kalah walaupun banyak wang dihabiskan untuk berjamming dan membeli seluar kulit dan rantai leher emas tiruan. Ini semua dilakukan semata-mata untuk mengejar sebahagian cita-cita Rockstar Terhad mereka, iaitu muncul di siaran Astro seperti ‘Blast Off’ (yang juga pertandingan muzik) atau rancangan-rancangan muzik secara live di RTM2, memandu kereta Honda berwarna merah/kuning, bermain di atas pentas konsert Rottwailers dan Jom Heboh, tinggal di kawasan Ukay Heights/Bukit Antarabangsa, gambar masuk majalah ROTTW, memiliki 3 batang gitar karan, membeli sistem gitar tanpa wayar (agar mudah bergerak di atas pentas berukuran lebih 10 meter panjang) dan berkenalan dengan Ella/Amy Search.

Atas sebab suka masuk pertandingan-lah selepas menjadi pemuzik professional pun, suka masuk rancangan-rancangan berunsur pertandingan seperti Muzik-Muzik, Bintang RTM untuk dekat selangkah lagi ke cita-cita menjadi Rockstar Terhad mereka.

6. Ramai Peminat (?)
…yang merupakan kawan-kawan. 8 keping dari setiap 10 keping demo CD yang dijual adalah akibat paksaan kepada kawan-kawan. Itu pun selepas disogokkan dengan kata-kata seperti, “Support the local scene, beb!” Kawan-kawan yang sama juga akan dijanjikan makanan percuma di restoran mamak jika membawa sepanduk kad manila bertuliskan kata-kata pujian ‘peminat’ ketika pertandingan-pertandingan yang disebut di atas dilangsungkan.

Dan semestinya mereka ini semua ramai peminat sebab setiap kali sebelum mula bermain di atas pentas pasti akan ada sesi bersuai kenal, yang biasanya berbunyi begini…

Vokalis — “Apa khabar Malaysia!! Are you enjoys??”
“Kami Band (letak nama), dan kami adalah Lan, on guitars!!! (Lan goreng sikit kat gitar)
Man on bass!!! (Man goreng sikit kat gitar bass)
Tan on drums!!! (Tan goreng sikit kat drumkit)
Man — Dan semestinya Adam on vocals!!!
Adam — Yeaheh! (Gaya ala-Jinbara)

7. Pemuzik Tidak Handal Yang Handal.
Akibat kekurangan kreativiti untuk menulis lagu-lagu sendiri (dan mungkin juga arena ciptaan lagu di Malaysia dimonopoli oleh Mahaguru-Mahaguru tertentu), mereka akhirnya pasrah dan menumpukan masa bekerja dengan lagu-lagu orang lain. Paling seronok kalau diberi peluang untuk mengetuai band-band di rancangan-rancangan TV terkenal yang memerlukan muzik live seperti Akademi Fantasia dan One In A Million. Kemuncak rancangan secara peribadi semestinya ketika kamera zoom-in bila sedang memainkan solo ketika memainkan lagu Zaiton Sameon/Francessca Peters yang diolah semula. Ramai juga yang berjaya mencari nafkah halal dengan cara ini (bukan sahaja 3 gitar karan, malah 3 buah kereta Honda merah, kuning dan hitam). Ini untuk pemuzik yang main alat muzik sahaja, yang bergelar penyanyi pula akan cuba mendapatkan tender menyanyi lagu-lagu patriotik bersama orkestra untuk RTM. Memang tidak salah pun. Afdal.

8. Ramai Groupie (?)
Istilah ‘groupie’ jika kamu tidak tahu bermaksud peminat fanatik (biasanya perempuan) yang minatkan pemuzik-pemuzik popular dan sanggup melakukan seks dengan mereka. Kamu baca sahaja buku-buku biografi band-band popular dahulu seperti Led Zeppelin dan The Rolling Stones (atau tonton sahaja filem ‘Almost Famous’). Di barat memang perkara biasa, tetapi untuk Rockstar Terhad di sini mereka ini selalunya ialah peminat perempuan yang bakal menjadi Isteri Pertama. (Terpikat disebabkab seluar jeans kulit, semestinya.) Isteri Kedua sudah tentunya kawan akrab si Isteri Pertama. Lumrah dunia.

9. Peluang Yang Terhad.
Percayalah, memang terhad pilihannya jika kamu ingin menjadi seorang Rockstar di Malaysia. Mungkin ada yang telah mencapai tahap kehidupan ala-ala Rockstar di Barat, tetapi realitinya amat sukar untuk bergelumang di dalam wang berjuta-juta ringgit berdasarkan pendapatan sebagai seorang pemuzik di sini. Di sini pasaran memang terhad, dan jika kamu ke luar negara pun aku rasa diskriminasi yang kamu akan hadapi sebagai seorang rocker Melayu akan melemahkan semangat kamu serta-merta.

Tetapi jika kamu sedar angan-angan ini sebenarnya sesuatu yang kelakar dan kamu menjadi Rockstar yang sedar akan hakikat itu, teruskanlah. Aku dengar semenjak dua menjak ini banyak band-band ala The Darkness yang berani untuk tidak mengambil diri sendiri terlalu serius, dan sebaliknya berjaya untuk tampil ke hadapan dan sedikit sebanyak mencapai impian rock’n'roll mereka, walaupun tidak sehebat Rockstar idola mereka. Aku tabik!

(Mamat Khalid, aku suka Rock!)

(Video Hiasan)

Popularity: 5% [?]

31 Responses to “Tafsiran ‘Rockstar Terhad’.”

  1. mrbad says:

    heehehehehe lovely….

  2. Pously Naie says:

    “barangan-barangan kulit yang dijual oleh kaum Red Indian Melayu”

    Salah seorang mereka di Pasar Seni. Hahahahhahaha.

    Rockstar Terhad ni, kalau dah berjaya sket, harus main di Hard Rock Cafe, buat pelancaran album di situ lagi bagus.

  3. Anonymous says:

    macam haram

  4. Pously Naie says:

    *Eh silap, Planet Hollywood. (tulah nak berlagak pandai sangat, macam abang MM kita ni, aw!) Hahaha.

  5. hasbullah awang says:

    bagaimana pula dengan band2 yang main lagu sendiri, fasih sedikit berbahasa inggeris (ini berdasarkan lirik2 bahasa inggeris mereka yg kadang2 berterabur tapi cas puitis),yang berpakaian mengikut fesyen terkini, yang mengagumi band2 yg kaset, cd, vcd, dvd atau vinyl memang tiada dijual di Malaysia, yang tak masuk pertandingan, tapi bermain di tempat2 yg acak2 hip (cloth & clef, laundry, dsb), yang kononnya ramai peminat tetapi sebenarnya rakan2 blogger yg terpaksa memberi pujian sebab selalu berinteraksi di dunia maya, mereka ini 'rockstar terhad' jugakah?

  6. Sue Anna Joe says:

    “Apa khabar Malaysia!! Are you enjoys??”

    That’s mean MM!

  7. PinkCherry says:

    “Apa khabar Malaysia!! Are you enjoys??”

    *Ketawa tergolek golek*

    My brother dulu pun rockstar terhad juga hihi. But the girls yg throw themselves at him memang hot hot so I guess it’s not all bad – for him lar.

    Anyway happy holidays!

  8. They Will Kill Us All says:

    saya setuju dengan hasbullah awang, dan saya percaya salah seorang daripada peminat ‘rockstar terhad’ versi hasbullah’ adalah MM kita ini sendiri.

    perasan diri bagus, ada kelas. yang lain hampeh. pigi dah!

  9. abang mat tora says:

    panas panas hahaaaa

  10. Anonymous says:

    owhhh.. gelang kulit tu dah macam treadmark. kena tunjuk macam ganas sikit. baru orang tahu kita ni ROCK! dan kaki metal. yang rebel sikit tu yang pakai semua hitam. sebab fuck life! and tak ada gf sbb konon tak percaya pada cinta. padahal perempuan tak suka dia sbb dia ni pathetic sangat. pastu ada yang tua sikit macam 29 tahun ke atas tapi still nak main music kena kasi kata kata hikmat pastu perasan matured dan wise bila cakap dengan orang padahal tak wise langsung. annoying gila ada la.. ishish.. owh and diorg suka perasan cool kan? tapi tak cool langsung. haha.

    *hahahahahahahaahhaha*

  11. budak jahat says:

    mungkin memuja lagu duet mawi dan jamal, dan mungkin selalu cover lagu ni di persembahan mereka dan feeling lebih sambil kembang hidung apabila tiba part menggoreng.

  12. zarticcus says:

    “Akibat tidak boleh dibayar untuk melakukan persembahan, ramai di antara mereka ini membuat band yang sanggup membayar wang untuk membuat persembahan,…”

    termasuk juga siri gig “Pay to Play” dan seangkatannya yang dieksploitasi oleh penganjur2 yg sentiasa membuat flyers ala micro$oft powerpoint kepada budak2 band yang masih baru cuba meraih nama…

  13. zarticcus says:

    “Apa khabar Malaysia!! Are you enjoys??”
    Pelik juga kenapa ada org mesia suka tertambah2 huruf ‘s’ atau mem-past tensed kat ujung perkataan eh?
    Dimaafkan kpd mereka yg berusaha…

  14. Fariz Bakar says:

    rentak juara.

    the battle of champion!! yang penuh dengan band ipta menggalas nama baik institusi masing-masing.

    gitar ibanez reverse head stock? haha. jaki sial lu.

  15. Fariz Bakar says:

    *headstock (ingat tu, tak ada ‘space’)

  16. Anonymous says:

    mamat nie dh la scaling bersepah lol balek training lg ye..

  17. siggplus says:

    “Apa khabar Malaysia!! Are you enjoys??”

    better than siti yang cakap “Apa khabar semua!! Are you best??”

  18. an2blur says:

    Hai,
    Memang suke yg no 6.
    Lawak.
    Tapi paling suke ayat yang last tu.

    Mamat Khalid, aku pun suke Rock.
    Kahkah.
    Mendalam sungguh maknanya.
    Otak MM mmg 360 darjah.
    Kewl.

  19. Anonymous says:

    Pertama kali komen anonymous. MM patut tulis Tafsiran Bini Rockstar Terhad” juga.

  20. .theberuk says:

    .memiliki tiga batang gitar ‘karan’

    kayanya rockstar kat Malaysia
    .katalah yang paling ‘korok’ pun gitar Squier(RM550), kalau tiga dah berapa?

    Aku pun sebenarnya tak berapa faham kenapa nak masuk pertandingan band? Kalau band punk memang tak ada sebab tapi kalau genre lain bolehlah terima sikit.

  21. Anonymous says:

    padahal perempuan tak suka dia sbb dia ni pathetic sangat. pastu ada yang tua sikit macam 29 tahun ke atas tapi still nak main music kena kasi kata kata hikmat pastu perasan matured dan wise bila cakap dengan orang padahal tak wise langsung.

    fuh,tanpa nama di atas,btol ko cakap tuh,memang terkena pulak kat irman kita nih,hahahahahaha,MM terase x apa die cakap tuh?kene doh kat ko!!

  22. kitsch snitsch says:

    “Apa khabar Malaysia!! Are you enjoys??”

    i laughed out loud.

  23. errk, kenyang says:

    senang nak jadi rockstar sekarang. rekod kat mana mana je. cd/dvd recorder kat ada. BR-600 8-track pon murah sekarang. dulu nak rekod pakai dat, mau jual motor. studio pon bukan semua yang ada dat player.
    teknologi memudah kan kehidupan.

  24. vlad says:

    Observation memang macam seorang kawan yang mengelarkan diri dia Ginthorn.

    Bukannya aku tahu apa tentang muzik rock.

    AreYouEnjoys. Teringat aku pada seorang kawan yang menggunakan ign ini ketika bermain CS.

  25. Anonymous says:

    hahaha scaling pon hancur! yang takleh blah tu mamat pakai topi tu boleh lak nak tunjuk kat lead guitarist dia tu sambil angguk2 tanda puas.

  26. pembaca says:

    aku baru je habiskan masa baca semua entri pemerhatian kamu. mmg observant dn byk yg btul. aku suka nama2 yg kamu kasi eg: azman, lelaki/perempuan ampang dll. mmg kena sgt2. terima kasih sbb sampaikan semua benda dgn detail dn penuh informasi. kategori lain maybe aku tk brapa into sgt, aku rasa kalau aku baca semua maybe aku kena potong gaji sbb tk buat keje. apa pendapat kamu ttg kelantanese, jawa atau orang2 lain? bkn nak pro mana2 negeri, nak tau pendapat kamu je. maaflah, panjang plak. bye

  27. Anonymous says:

    golongan2 yang baca blog ni 90 % tergolong dari kalangan budak2 saya jiwa kosong yang malu pakai baju tu lepas dah tulis kat sini pastu berlagak poyo

  28. Melayu Minimalis says:

    @Tanpa Nama 23:47
    Tafsiran Bini Rockstar Terhad? hmmm…

    @pembaca
    tak boleh buat tafsiran macam tu. nanti macam racist haha :)

  29. pembaca says:

    mungkin encik MM boleh buka ruangan pemerhatian readers lain tentang orang/budaya/situasi/apa2 je.

    p/s: encik MM ni irman ke?

  30. Manusia Biasa says:

    post ni agak lama tp aku nk komen jugak..
    apa kaitan ibanez ngan rockstar terhad??
    dan apa kaitan dragon red???
    MM,sila jawab…

  31. jackblack says:

    woi sapa yg tulis ni?? roxstar terhad??
    utk mat2 rock bleh la mcmni…

    utk budak2 death metal, grindcore, punk, trash, bnda2 komersial ni mmg xpenting la…
    bodo pnya writer…
    nk tulis pun, study la skit.. ilmu xdak tp nk buat terer…

    hg p search balik awat ibanez saja ka yg ada bwk kluaq guitar body tajam???

Leave a Reply

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes