August 21, 2008 7

10 Lagu-Lagu Nostalgia Kamu Perlu Tahu.

By in Layan Diri, Youtube

Disebabkan oleh abang aku, aku membesar dengan lebih muzik barat dari Britain berbanding dengan Amerika Syarikat. Aku rasa tidak ramai di sini yang boleh mengaku mendengar album pertama Depeche ModeSpeak & Spell ketika ia mula-mula diedarkan. Pada tahun 1981. Masa itu Vince Clarke (yang kemudiannya popular dengan duo The Assembly, kemudiannya Yazoo dan selepas itu Erasure) masih lagi bermain keyboard. Aku memang ol-skool. Akibatnya, zaman kanak-kanak dan zaman remaja aku penuh dengan muzik dari Britain, sehinggalah kemunculan Kurt Cobain dan kugiran Nirvananya. Jadi hari ini aku ingin senaraikan sepuluh lagu dari zaman-zaman tersebut yang kamu patut tahu. Lagu-lagu di bawah ini pernah popular satu masa dahulu dari tahun lewat 80an hingga awal 90an, tapi pada aku masih relevan hingga kini.

Candy Flip – Strawberry Fields Forever
Aku mengaku, aku kenal versi lagu ini dahulu sebelum aku kenal versi asal The Beatles. Kemunculan Candy Flip, yang dianggap sebagai one-hit wonders, telah menyemarakkan trend memakai parka dengan hiasan tradisional di Britain. Ini juga lagu pertama yang aku mula-mula dengar drumloop ‘Amen’, yang digunakan untuk seluruh lagu ini. Sila Google.

The La’s – There She Goes
Band dari Britain ini juga lebih dikenali sebagai one-hit-wonders. Lagu ini kembali popular beberapa tahun lepas, selepas dirakam semula oleh Sixpence None The Richer. Tetapi versi asal ini lebih menarik.

Beats International – Dub Be Good To Me
Juga bukan versi asal, yang asalnya dirakamkan oleh SOS Band. Kamu kenal Mat Salleh kurus berambut perang yang bermain gitar bass dalam video di atas? Ya, itulah Fatboy Slim sebelum dia benar-benar terkenal.

Jesus Jones - Right Here, Right Now
Band ini seangkatan dengan band yang lebih popular iaitu EMF, kedua-duanya band penuh dengan anak muda yang berimejkan skater. Aku lebih suka Jesus Jones sebenarnya, sebab lagu-lagu mereka lebih kompleks, dan mereka nampak lebih ‘real’ walhal kalau difikirkan balik sebenarnya kedua-dua Jesus Jones dan EMF memang tidak ‘real’ pun.

Omar - There’s Nothing Like This
Maaf, Omar bukan budak Melayu yang berasal dari Negeri Sembilan. Lagu ini memang mengasyikkan ketika mula keluar pada tahun 1980an, dan untuk yang tahu, aku rasa lagu ini masih popular sampai sekarang. Akibat dari lagu ini gerakan neo-soul semakin popular di Britain.

Rebel MC – Street Tuff
Lagu yang sedikit sebanyak telah melahirkan genre muzik ragga jungle di Britain, aku selalu mendengar lagu ini ketika dimainkan di televisyen di dalam rancangan ‘Top Of The Tops‘ dahulu yang dihoskan oleh Pat Sharp. Argh, nostalgia.

A-Ha – Take On Me
Ya, aku tahu, mereka bukan berasal dari Britain tetapi dari Norway, tetapi mereka memang popular di dalam carta di UK. Video ini kiranya telah merevolusikan arena muzik video ketika mula disiarkan. Tengok saja-lah, kamu akan faham. Ke mana agaknya pergi Morten Harket dan bandnya?

Dead Or Alive – You Spin Me Around (Like A Record)
Selain dari Boy George dengan Culture Club, ada juga Pete Burns dan Dead Or Alive. Aku rasa Pete Burns lagi cantik. Apa pendapat kamu?

Spandau Ballet – True
Lupakan versi PM Dawn yang banyak menggunakan sample lagu ini. Ini yang asli. Memang jauh lagi baik dan lagi bagus.

Band Aid II – Do They Know It’s Chrismas
Mungkin tidak sehebat versi asal tetapi…… Kylie! Bros! Big Fun! Jimmy Sommervile dari The Communards! Jason Donavan! Marti Pellow dari Wet Wet Wet! Bananarama! Sonia! Lisa Stansfield! Semua ada!

Kenapa zaman ini banyak cover songs yang popular, ya?

Lagu Bonus!

Howard Jones – What Is Love?
Aku pernah dapat t-shirt Howard Jones yang abang aku beli di Singapura. Akibat terlalu kecil dan tidak muat untuknya dia telah serahkan kepada aku. Aku memang budak paling cool ketika pakai t-shirt tersebut semasa kelas Pelajaran Jasmani.

Dan, jika kamu kenal semua lagu di atas…….. kamu sebaya aku!

Popularity: 2% [?]

August 21, 2008 22

Apa Yang Lulus?

By in Layan Diri, Pendapat

Pembaca-pembaca aku pasti tahu cerita penungguan kereta aku yang lalu. Selasa lepas, selepas sepuluh minggu (janjinya hanya LIMA hari!) dan selepas diancam untuk membatalkan pembelian dan kemudiannya diadu ke Tribunal Pengguna, Kereta Hitam aku tiba di depan pintu pejabat.

Sekilas pandang, dan setelah memandu, Kereta Hitam aku memang bagus. Aku pernah cuba memandu banyak kereta (dari Honda ke Toyota ke Suzuki ke BMW) tetapi secara jujur Kereta Hitam aku memang sedap dipandu. Kata orang, ‘melekat’ di jalan, dan tidak perlu bimbang bila terpaksa mencilok atau membuat brek kecemasan. Cukup selesa, dan badan kereta cukup kuat dan berat, sedap bunyi ketika menghempas pintu kereta untuk ditutup.

Aku tersenyum menyampah apabila melihat pelekat tertulis ‘Proton—Lulus’ di atas cermin kereta, kerana walaupun baru pertama kali aku hidupkan enjin dan mula memandu, sudah ada bunyi-bunyi kurang menyenangkan yang datang dari bawah bonet enjin kereta. Kadang-kadang kereta aku keluarkan bunyi seakan-akan motobot. Kelakar.

Tuan Proton, susah sangat ke untuk membuat pemeriksaan yang lebih rapi sebelum kereta boleh keluar kilang? Aku tahu reputasi kamu semua sudah teruk, tapi takkan tidak pernah terfikir langsung untuk sedikit sebanyak memberikan lebih perhatian terhadap produk keluaran kamu?

Ini baru satu hari, kalau satu tahun bagaimana agaknya? Tetapi tidak mengapa, kita tunggu dan lihat bagaimana.

Popularity: 2% [?]

August 21, 2008 6

Lagu Hari Ini 5.

By in Lagu Hari Ini, Youtube

Paint It Black

I see a red door and I want it painted black
No colors anymore I want them to turn black
I see the girls walk by dressed in their summer clothes
I have to turn my head until my darkness goes
I see a line of cars and theyre all painted black
With flowers and my love both never to come back
I see people turn their heads and quickly look away
Like a new born baby it just happens evry day
I look inside myself and see my heart is black
I see my red door and it has been painted black
Maybe then Ill fade away and not have to face the facts
Its not easy facin up when your whole world is black

No more will my green sea go turn a deeper blue
I could not foresee this thing happening to you
If I look hard enough into the settin sun
My love will laugh with me before the mornin comes

I see a red door and I want it painted black
No colors anymore I want them to turn black
I see the girls walk by dressed in their summer clothes
I have to turn my head until my darkness goes
Hmm, hmm, hmm,…
I wanna see it painted, painted black
Black as night, black as coal
I wanna see the sun blotted out from the sky
I wanna see it painted, painted, painted, painted black
Yeah!

Popularity: 1% [?]

August 20, 2008 13

OT! (Oh Tuhanku! = OMG = Oh My God!) Bahagian 5.

By in OT!

Aku sudah tidak keruan. Mula-mula Lumix LX3, selepas itu Nikon P6000, sekarang Ricoh pula umumkan kemunculan R10. Rasa-rasanya cukup minimalis untuk Melayu Minimalis tak? Tapi aku rasa untuk aku LX3 masih di carta teratas, walaupun secara jujur aku rasa rekabentuk R10 di atas memang amat menarik.

Aku pernah ditanya sama ada aku akan membeli kamera DSLR ataupun tidak. Mestilah tidak. Aku sudah cukup bermain dengan kamera SLR semasa Tingkatan 5 dahulu. Lagipun DSLR susah, tak muat poket skinny jeans. Dan aku bukan jenis yang hendak gantung benda-benda besar terbonjol di leher aku. Lagi pun aku suka mengambil gambar-gambar candid. Dan susah untuk mengambil gambar candid orang jika ada lensa besar terpacul di depan muka mereka, bukan? Ada lensa besar sahaja, semua sudah perasan supermodel. Macam mana?

Popularity: 2% [?]

August 18, 2008 27

Aku, Kamu Dan Kami.

By in Pendapat, Youtube

Aku pernah terbaca dahulu di dalam majalah tempatan si Sifu M. Nasir pernah berkata, bahawa tiada masa depan untuk band-band underground tempatan. Tak silap aku temuramah ini keluar pada tahun 2000 dahulu, di mana secara mudahnya dia berkata kalau kamu ada band dan kamu tidak masuk dalam sistem Luncai Emas/Lagu Oleh M. Nasir yang dimonopolinya, band kamu akan hancur.

Sekarang, dalam tahun 2008, kamu semua tahu itu tidak benar. Sedikit sebanyak disebabkan oleh siri TV ‘Kami’, dan juga banyak pengaruh lain, banyak band-band tempatan mendapat banyak publisiti di media tempatan. Tak kisah-lah sama ada publisiti itu baik atau buruk, sebab publisiti tetap publisiti. Dan di sini band tempatan yang aku maksudkan bukan-lah band-band ‘tangkap leleh’ yang popular dengan lagu-lagu buangan M. Nasir, tetapi band-band berdikari yang berkarya sendiri, menulis dan merakam lagu sendiri, setanding dengan mana-mana band di sekitar rantau ini.

Kita ada Bittersweet, band britpop dari Ipoh yang bukan saja pandai berkarya, tetapi pandai mengeksploitkan gaya sebagai pelaris band. Juga jangan lupa Hujan, walau seramai mana pun peminat dan wartawan Melayu pondan membenci mereka, nama mereka tetap naik. Juga Meet Uncle Hussain, dengan vokalis yang menyanyi lebih baik dari mana-mana pemenang rancangan tv realiti (kecuali Jacklyn Victor-lah), They Will Kill Us All (tengoklah, pasti mereka akan ‘meletup’ tidak lama lagi) dan tidak lupa juga Butterfingers. (Ada banyak lagi, aku tahu!)

Mungkin ramai yang tidak setuju, tetapi pada aku siri TV ‘Kami’ memang rahmat bagi ramai pemuzik tempatan. Siri TV yang akhirnya berjaya membuka pasaran muzik kepada remaja yang mungkin sebelum ini asyik melayan hasil keluaran kilang-kilang pop tempatan.

Tempohari aku telah berborak sebentar dengan dua orang yang bertanggungjawab melahirkan siri ‘Kami’, sepasang suami isteri yang telah lama mengimpikan sesuatu yang sebegini sejak lama dahulu. Tapi agak kelakar sebab mereka sebenarnya tidak sedar sebesar mana pengaruh rancangan ‘Kami’ di kalangan remaja Malaysia. Kita janganlah fikir mereka yang sudah pun pandai membaca Pitchfork dan kenal siapa itu Don Caballero dan Kings of Convenience, tapi cuba kamu bayangkan adik-adik (dan juga abang-abang) yang selama ini membaca URTV, Remaja dan Mangga sebagai Sumber Maklumat Hiburan Muktamad.

Sebab akibat menonton ‘Kami’-lah muncul ‘budak indie’ di sana sini. Gig-gig pun bertambah, dan selain dari luar Lembah Kelang, memang jarang dikacau polis. Sebab sebenarnya, kalau kamu tahu betul-betul, tiada apa yang buruk pun. Cuma media konservatif yang kurang faham, kata itu kata ini (kamu pun mesti pernah baca, malas aku nak taip).

Tapi ramai yang tak puas hati, sebab ramai sangat ‘budak indie’. Sama ada budak Ingin Jadi© atau pun tidak, aku tak peduli. Sebab semakin ramai, semakin meriahlah bukan? Kita yang sudah lama perasan indie pun terpaksa menyeluk Internet mencari yang lebih indie. Itu pun kalau wujud-lah.

Aku sampai sekarang tak berapa faham tentang elitisme muzik. Perasaan tak puas hati apabila band atau muzik yang kamu minati dulu tiba-tiba mula digemari orang ramai selain kamu dan 4 orang kawan terdekat kamu. Pada aku, memang bagus apa? Kasi maju sikit industri muzik kita. Sampai bila nak jadikan Limp Bizkit idola muzik kamu? That is so 90s, OK?

Apa-apa pun, aku rasa pada takat ini, aku bangga dengan apa yang kita boleh keluarkan tanpa bantuan ‘Sifu’ kita yang amat pessimis dengan bakat tempatan yang ada. Kalau tak percaya sila tonton klip Youtube band dari Johor Bahru, Laila’s Lounge, di bawah.

Jangan lupa tonton klip video Butterfingers untuk lagu ‘Kembali’ juga! Memang menyengat!

Memang tak ada macam ‘Tanya Sama Itu Hud-Hud’ langsung. (Walaupun lagu itu bagus, juga lagu ‘Mustika’ dan ‘Semerah Padi’. Itu yang aku bengang. Lagu bagus rakam sendiri. Lagu tidak bagus senang-senang beri kat budak-budak hingusan baru pandai angkat gitar dan mahu cari makan.)

Popularity: 2% [?]

August 18, 2008 6

Mengapa Aku Menonton Siaran Langsung Sukan Olimpik Malam Ini.

By in Layan Diri, Youtube

Sebab aku ingin melihat Yelena Isinbayeva, atlit ‘terpanas’ di Sukan Olimpik tahun ini, tanpa syak lagi! Nak harap Lee Chong Wei memang tak ah!

Popularity: 1% [?]

August 16, 2008 15

10 Band/Pemuzik Rawak Yang Kamu Patut Cekidaut.

By in Panduan, Youtube

Hmm. Aku pasti kamu semua sudah baca nukilan-nukilan aku tentang muzik bukan? (Kalau belum sila klik ‘panduan’ di ruang ‘Jenis-Jenis Nukilan’ di sebelah kiri ini). Tapi ada banyak lagi band yang aku belum tulis lagi. Dan disebabkan aku tiada buah fikiran untuk menulis tentang benda lain apa kata aku sambung sahaja penulisan tentang muzik.

Jadi, hari ini, aku akan menulis tentang 10 kumpulan muzik atau penyanyi yang aku rasa kamu patut dengar dan tahu, band-band yang mungkin tidak termasuk dalam mana-mana nukilan muzik aku yang lain. Seperti biasa, aku akan cuba sedaya upaya untuk menjelaskan jenis muzik yang mereka main, tetapi lebih afdal jika kamu lihat sendiri klip Youtube mereka, ya? Dan jika kamu sudah pun kenal band-band dan penyanyi di bawah, bagus untuk kamu! Tapi aku ingin berkongsi dengan mereka yang belum tahu lagi, OK?

Melt Banana
Seperti yang aku tulis sebelum ini, band dari Jepun ini memang agak gila-gila. Muzik avant-garde yang mereka bawa ini memang unik dan menarik, vokalis perempuan yang menyanyi dengan suara comel, diiringi pemain gitar yang suka buat bunyi gila-gila sampai aku pun tak faham. Band ini sudah aktif lebih dari 10 tahun, dan salah satu band yang paling bekerja keras di Jepun, dan sanggup main beratus-ratus persembahan setahun, kebanyakannya di Amerika Syarikat dan Eropah.

Aereogramme
Band dari Glasgow, Scotland ini pada awalnya berunsur hardcore dan metal, dan kemudiannya berubah menjadi post-rock. Walaupun sudah pun berpecah tahun lalu, aku rasa lagu-lagu mereka, terutamanya dalam album terakhir mereka “My Heart Has a Wish That You Would Not Go” memang mengancam, dan mengandungi lagu-lagu yang aku rasa memang indah dan menenangkan. Siapa kata post-rock tidak boleh ada vokal? Kalau kamu suka Aereogramme kamu juga patut cekidaut dua band dari Sweden iaitu Jeniferever dan Ef, sebab semua band ini seakan-akan sama.

Aphex Twin
Projek gila seorang manusia dari UK bernama Richard D James. Juga dikenali sebagai AFX dan mempunyai banyak projek-projek muzik lain. Kategori muzik ini dikenali sebagai IDM atau intelligent dance music = muzik dansa pandai. Jadi muzik dansa apa yang bodoh? Selain IDM dia juga banyak keluarkan lagu-lagu ambient. Kiranya lagu boleh buat lepak-lah. Video yang aku letak di sini adalah untuk lagu ‘Rubber Johnny’, video arahan pengarah muda genius Chris Cunningham. Agak mengerikan jadi jangan tengok kalau kamu tak suka benda-benda ngeri. Sebenarnya video Aphex Twin semua mengerikan, tetapi muziknya kadangkala comel. Aku suka!

Bonnie ‘Prince’ Billy
Penyanyi dari Kentucky, Amerika ini dikategorikan dalam jenis muzik folk dan Americana. Lagu-lagu yang kamu boleh dengar ketika kamu memandu kereta Chevy tahun 1976 kamu merentang lebuhraya di tengah-tengah Amerika. Yang aku minat tentang dia bukan sahaja muzik dia, tetapi pendirian dia yang kurang konvensional dan anti-pentadbiran. Kamu tidak perlukan gitar elektrik bising untuk memberontak, dan kamu tidak terhad kepada lagu cinta sahaja jika kamu hanya ada sebuat gitar tong. Ini baru tangkap lentok!

Chris Clark
Dia ini juga seorang pemuzik IDM, bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama dengan Aphex Twin iaitu Warp Records. Sebenarnya aku baru mula layan dia ni, jadi aku tak ada banyak maklumat tentang mamat dari UK ini. Apa-apa pun sila layan ‘tangan terbang’ di dalam video di atas. Zass!

Dungen
Band ini sebenarnya band projek pemuzik Sweden bernama Gustav Ejstes, yang selalunya akan main semua alatan muzik dalam semua rakaman-rakaman yang dikeluarkan. Band ini memang unik, dan bermain jenis rock yang amat psychedelic. Kiranya macam muzik yang mak bapak kita dengar ketika zaman layan cendawan tahun 60an dulu. Apa-apa pun aku tabik Dungen sebab mampu main dan rakam semua alat muzik berseorangan untuk CD mereka, walaupun di atas pentas dia ada band penuh.

Edan
Inilah rapper terbaik dunia. Aku serius. Lelaki Mat Salleh Yahudi dari Brooklyn ini bukan sahaja pandai rapping, tapi juga seorang penerbit, DJ dan pereka seni. Kiranya macam mamat Dungen di atas lah, cuma versi hip-hop. Rapper lain boleh bling-bling dengan rantai emas berlian mereka dan topi serta baju berlogokan pasukan besbol tetapi si Edan ini boleh selamba pakai kemeja bertali-leher dan seluar ketat dengan rambut kembang. Kalau lihat muka memang tak kena dengan suara yang keluar di mikrofon. Aku minat dia sebab aku memang minat old school hip-hop. Hip-hop bling-bling MTV sekarang ini memang aku tak layan. Lagi-lagi yang Melayu perasan black.

Jose Gonzales
Seorang penyanyi/penulis lagu dari Sweden (kenapa banyak pemuzik dari Sweden yang aku minat ni?) yang hanya menyanyi diiringi gitar akustik. Berketurunan Argentina, aku suka bukan sahaja cara dia menyanyi, tetapi cara dia bermain gitar, yang seakan-akan bermain gendang. Amat percussive. Lagu di atas adalah lagu dendangan asal Massive Attack, tetapi diolah dengan cara beliau. Mengasyikkan.

Sufjan Stevens
Juga seorang penyanyi/penulis lagu, dia amat terkenal dengan tajuk-tajuk lagunya yang amat panjang. Juga suka mengeluarkan album berkonsepkan negeri-negeri di Amerika Syarikat, dan setakat ini telah berjaya mengeluarkan dua album dengan konsep tersebut, iaitu Illinois dan Michigan. Ada lagi 48 buah negeri lagi! Lagu-lagunya banyak berkonsepkan sosial dan agama, malah namanya Sufjan ialah nama Arab/Islam hasil pemberian ibubapanya yang menyertai pertubuhan Subud. Muzik untuk orang pandai. Bukan aku cakap aku pandai, ya?

UA
Penyanyi dari Jepun ini agak unik dengan suaranya yang dalam dan tidak secomel penyanyi-penyanyi pop Jepun yang lain. Dia juga banyak mengeluarkan album konsep, dari pop ke indie rock ke dub reggae. Album dub reggae beliau berjudul ‘Turbo’ adalah album kegemaran aku, dan kalau lihat rupa pun boleh tahan-lah. Dari kamu dengar Ayumi Hamasaki lebih baik kamu dengar UA. Lain-lain penyanyi perempuan Jepun yang aku sarankan kamu dengar ialah Kahimi Karie dan Shiina Ringo.

Ok sekian sahaja untuk hari ini. Jadi blog muzik pulak.

Popularity: 3% [?]

August 15, 2008 14

Barangkali Ini Catatan Pertama Tentang Grindcore Dalam Bahasa Melayu.

By in Panduan, Youtube

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Nasib baik kita di zaman moden ini tak perlu seluk pekasam, bukan? Jadi, semalam aku telah bercerita sedikit tentang sludge, jadi hari ini pula aku akan bercerita tentang grindcore. Perlu aku ingatkan di sini bahawa segala senarai band yang aku letak dalam semua nukilan-nukilan aku adalah band yang relevan dengan aku, jadi jangan kecil hari jika band kegemaran kamu tidak masuk ke dalam senarai aku, OK?

Grindcore, secara umumnya, adalah muzik paling laju dalam dunia. Walaupun di dalam grindcore ada banyak sub-genrenya seperti goregrind, techgrind, noisecore dan deathgrind, tetapi di sini aku hanya akan sentuh tentang grindcore secara amnya. Seperti biasa, aku rasa daripada aku menjelaskan di sini bagaimana bunyinya muzik grindcore itu, lebih baik kamu lihat sahaja klip-klip Youtube yang aku letak di bawah, ya?

Discordance Axis
Terus terang aku cakap di sini, band dari New Jersey, Amerika Syarikat ini melambangkan segala apa yang bagus tentang grindcore. Terbaik, terpantas, dan juga menampilkan pemain dram blast beat (rentak meletup!) terbaik dunia iaitu Dave Witte. Band ini banyak ambil pengaruh dari budaya popular Jepun, dari anime hinggalah ke permainan video. Malangnya band ini telah berpecah akibat masalah pendengaran pemain gitar utamanya, tetapi pemain dram Dave Witte masih aktif mengetuk dram untuk banyak band lain, dan vokalisnya sekarang aktif bersama superband grindcore Gridlink.

Napalm Death
Band dari UK ini pernah datang beraksi di Kuala Lumpur sebanyak dua kali, dan selalunya diiktiraf sebagai salah satu band grindcore yang pertama di dunia. Bunyi mereka lebih kasar dari ketepatan muzik grindcore Discordance Axis, tetapi masih merupakan antara band grindcore yang paling berpengaruh dalam dunia kita sekarang ini. Bekas ahli Justin Broadrick juga popular dengan band industrial (Cerita Lain) Godflesh dan sekarang aktif dengan Jesu, salah satu band post-metal terulung buat masa ini.

Anal Cunt
Seth Putnam merupakan satu contoh bagus band yang mampu bermain berpuluh-puluh lagu grindcore/noisecore pendek di dalam persembahan live mereka. Vokalis dan ahli utama Seth Putnam dahulu terkenal akibat konfliknya dengan band Discordance Axis, dan atas sebab yang samalah aku terjumpa band ini. Band ini terkenal dengan lagu-lagu lucu/lucah yang panjangnya beberapa saat sahaja, tetapi mempunyai tajuk lagu yang panjang seperti ‘No, We Don’t Want to Do a Split Seven Inch With Your Stupid Fucking Band’. Memang kelakar.

Brujeria
Aku selalu pandang band ini sebagai Corrupted (lihat nukilan sebelum ini) tetapi versi grindcore. Selalu menyanyi dalam Bahasa Sepanyol, dan obses dengan kematian dan mayat berkecai-kecai yang digunakan sebagai grafik album-album mereka. Pemain bass Napalm Death Shawn Embury juga bermain untuk band ini. Aku suka dengan lagu mereka sebab lagu mereka selalunya kedengaran macam lagu orang sedang bergaduh. Bertekak, memekik-mekik.

Naked City
OK, sebagai bonus kamu patut dengar band ini. Band pimpinan pemain saksofon avant-garde/freejazz John Zorn ini memang hebat. Kamu bayangkanlah dalam band grindcore ada pemain saksofon. Bagaimana tu? Band ini juga hebat dengan ahli-ahlinya, termasuk bekas vocalist Faith No More Mike Patton, dan pemuzik-pemuzik noise (Cerita Lain) Jepun seperti Merzbow dan Melt Banana. Kata Mat Salleh memang total mindfuck-lah kiranya.

OK, aku boleh cerita secara ringkas sahaja, dan jika kamu fasih tentang grindcore kamu mungkin perasan band-band yang aku senaraikan di sini semuanya banyak band-band lama. Maaflah, jika kamu suka band seperti Locust atau Slipknot, sebab aku tak suka semua band macam itu.

Jadi selain dari band-band di atas, banyak lagi yang aku minat (satu ketika dahulu.) Antara yang kamu patut dengar ialah Extreme Noise Terror, Agathocles, SxOxB dan Multiplex. Semuanya hebat.

Sebagai bonus sila tonton klip Youtube Merzbow di bawah. Pasang kuat-kuat di kubikel kamu di pejabat ya?

Popularity: 2% [?]

August 14, 2008 20

Barangkali Ini Catatan Pertama Tentang Sludge Dalam Bahasa Melayu.

By in Panduan, Youtube

Dahulu, aku kerap menulis tentang jenis-jenis muzik yang aku minati. Kalau kamu terlepas, kamu boleh baca tentang panduan aku tentang muzik Post-Metal, Post-Punk, Post-Rock, Jazz/Bebop dan juga 10 Kumpulan Muzik Yang Relevan pada aku. (Sila baca jika kamu belum baca, mana tahu pengetahuan yang kamu perolehi dari nukilan-nukilan tersebut boleh buat kamu ‘sangkut’ dengan Awek Indie©.) Malangnya tidak banyak perbincangan yang timbul dari nukilan-nukilan tersebut, mungkin sebab majoriti pembaca-pembaca aku masih obses tentang Akademi Fantasia dan American Idol.

Jadi untuk hari ini aku ingin menyambung kembali siri nukilan ini, dan kali ini aku ingin menulis tentang muzik sludge. Perkataan ‘sludge’ kalau diterjemahkan, secara mudahnya akan bermaksud lumpur yang selalunya bercampur dengan kotoran. Sama seperti muzik yang dikelaskan dalam kategori sludge. Selalu berat, perlahan, dan ‘kotor’. Tiada lagu tentang cinta, tetapi selalunya tentang kematian, penyeksaan, hipokrisi, kekejaman (terutamanya kepada arnab-arnab comel), seks, politik dan mungkin juga tentang Wahid Satay. Topik yang berat, yang diiringi muzik yang berat dan ‘menyeksakan’. Berbeza dengan grindcore (Cerita Lain) yang mungkin berlandaskan topik yang sama, muzik sludge boleh dikatakan berada di hujung yang bertentangan dengan grindcore. Ideanya sama dan mudah, cuma temponya memang berbeza. Kadangkala sludge juga dikenali sebagai doom metal atau paincore, tapi kedua-dua istilah tersebut macam poyo, jadi jangan sebut di depan aku, OK? Di dalam sludge mungkin juga wujud unsur-unsur drone dan ambient, tapi itu semua Cerita Lain.

Kamu lihat sahaja contoh-contoh Youtube di bawah.

Corrupted
Kamu tidak boleh sebut sludge tanpa menyebut nama Corrupted. Band dari Jepun ini sudah bertahan lama, dan mungkin boleh disebut sebagai band sludge yang amat relevan yang kamu perlu tahu. Band ini obses dengan kematian, dan banyak album-album awal mereka menampilkan gambar mayat mengerikan di muka depan. Band ini juga amat obses dengan Bahasa Sepanyol, di mana semua lirik, tajuk lagu serta tajuk album-album dan EP mereka adalah dalam bahasa tersebut. Pada pendapat aku, bunyi sludge dari band ini adalah definisi sebenar sludge, yang amat menyeksakan dan boleh membuatkan kamu terkucil. Band ini pernah mengeluarkan album CD berkembar, yang hanya mempunyai dua lagu. Ya, 72 minit untuk satu lagu. Memang menyeksakan. Tapi aku memang obses dengan band ini, obses sangat.

Aku cinta Corrupted. <3

Neurosis
Selain dari Corrupted, band dari Amerika ini juga selalu dikaitkan dengan sludge. Mereka wujud lebih awal dari Corrupted (1985) sebagai band hardcore punk, tetapi kemudiannya mula bermain lebih berat dan lebih perlahan temponya, dan berubah kepada band doom metal dan sludge. Sludge versi mereka ini lebih ‘cantik’, lebih ‘metal’, tetapi lebih kompleks dari versi Corrupted yang lebih kasar dan jujur. Aku rasa dalam banyak-banyak band dalam kategori ini, mereka boleh dikatakan yang paling berpengaruh.

Aku rasa aku masih cinta Corrupted lagi.

Moss
Berasal dari United Kingdom, band sludge ini amat terpengaruh dengan unsur-unsur sihir dan penulis HP Lovecraft. Kamu Google sahaja tentang mereka ini, sebab kalau aku baca perkataan Moss aku hanya boleh teringat watak dalam kartun He-Man & The Masters Of The Universe, iaitu Moss Man. Masa aku kanak-kanak dahulu, abang aku ada membelikan aku figura aksi Moss Man ketika dia belajar di Amerika Syarikat. Bila dia pulang ke Malaysia dan ketika aku belek bungkusan permainan tersebut, aku lihat ia dikilangkan di kilang Mattel di Pulau Pinang. Gila jauh Moss Man aku berjalan!

Comel kan Moss Man? Ada bau pokok pain lagi!

Khanate
Lagu-lagu band ini memang agak melampau dan bising, penuh dengan jeritan mak nenek yang diselangi bunyi feedback gitar. Aku suka! (Tapi tak cinta-lah kot) Walaupun band ini sudah berpecah tahun 2006 dahulu, tetapi ketika aktif, ia menampilkan ahli-ahli dari band lain yang popular seperti OLD, Sunn O))) (band drone terhebat!), dan Blind Idiot God, semuanya band-band yang bagus dan berpengaruh.

Boris
Juga dari Jepun, Boris bukan terhad kepada sludge, tetapi juga dikenali sebagai band unggul untuk stoner rock. Jadi kalau kamu dengar album mereka, mungkin ada lagu sludge tetapi tiba-tiba ada lagu yang agak gembira tidak bertempat. Disebabkan ini, aku rasa mereka gila dan mempunyai masalah mental, dan aku patut minat mereka. Tapi aku lebih cintakan Corrupted. Boris juga pernah mengeluarkan album gandingan dengan Sunn O))). (Lihat bawah)

Selain dari band-band di atas, ada banyak lagi band sludge yang bagus, (Google sendiri lah!) dan juga band yang banyak terpengaruh dengan unsur sludge, terutamanya band-band yang aku sebut dalam panduan aku tentang Post-Metal. Sila buat kajian kamu sendiri dan hantarkan kertas kerja berdawai kokot selewat-lewatnya 31 Ogos ini. Terima kasih. Aku mahu tidur. Sebelum itu sebagai bonus sila lihat video band drone berjubah terunggul iaitu Sunn O))). Pasang speaker kuat-kuat di pejabat semasa kamu semua ponteng sembahyang Jumaat OK? Kasi makcik sebelah kamu tu terkejut sikit.

Popularity: 3% [?]

August 13, 2008 9

Nukilan Tanpa Nukilan Sebenar.

By in Layan Diri

Popularity: 1% [?]

August 11, 2008 8

Akhirnya! Pemenang Pingat Emas Kita Yang Pertama Di Olimpik Beijing!

By in Youtube

Ala…. bukan. Dragon Red sahaja. Sila tonton klip video mereka untuk mengurangkan stress-stress kerja. Aku bukan pemain gitar (ahem) tetapi boleh keluar bunyi ke dua kabinet Marshall (satu terbalik) tanpa kepala amp?

Apa-apa pun aku berharap impian mereka untuk ditaja oleh Nike ke Sukan Olimpik seterusnya menjadi kenyataan. Kalau dua-dua Adidas dan Nike tak mahu aku rasa Cheetah pun ok apa?

Popularity: 7% [?]

August 11, 2008 11

OT! (Oh Tuhanku! = OMG = Oh My God!) Bahagian 4.

By in OT!

Ish ish. Baru tempohari Panasonic telah umumkan Lumix LX3 mereka, dan tiba-tiba sekarang Nikon pula umumkan Coolpix P6000. Sama hebat. Aku rasa memang sampai masa aku tukar kamera baru.

Aku sambung kemudian. Hendak ke Ikea makan bebola daging dan kentang goreng.

Popularity: 2% [?]

August 10, 2008 7

Malam Semalam Di Ibukota (Negara Lain) 28.

By in Malam Semalam

Rantai Berkeliaran Dengan Mendalam.

Popularity: 2% [?]

August 10, 2008 6

Petang Semalam Di Ibukota (Negara Lain) 1.

By in Petang Semalam

Ada dua benda bagus tentang Temasek. Murtabak Zamzam dan pegawai kastam. Tabik!

Popularity: 2% [?]

August 7, 2008 4

Pancaroba Untuk Pancaindera.

By in Layan Diri

Sebagaimana hidup seorang ahli politik yang penuh dengan cubaan untuk menjatuhkannya, hidup aku juga penuh dengan cubaan, dugaan dan pancaroba.

Selain dari tohmahan-tohmahan kurang tepat tentang seksualiti aku serta dugaan-dugaan penjual kereta yang suka memberikan alasan, aku banyak dugaan yang benar-benar mencabar kesabaran aku. Nasib baik aku memang seorang yang agak penyabar, tetapi malangnya aku juga seorang yang pantang dicabar.

Dah kamu semua pasti tahu apa yang akan jadi jika lelaki Melayu dicabar. Memang cepat melenting. Tak percaya tonton sahaja drama swasta. Penuh dengan adegan lelaki berjaket kulit dan bermisai yang suka menuding-nuding jari dengan kepala senget sedikit.

Pelakon tambahan – “Kalau kau berani kau cubalah!”
Beego/Aqasha/Nasir Bilal Khan/Rosyam Noor – “Kau jangan cabar aku Zack!” (sambil menuding jari ke arah Zack)
Pelakon tambahan – “Apahal? Kau nak buat apa kalau aku…”
*dush*

Tapi motif nukilan hari ini bukan berkenaan cabar mencabar pun. Tetapi mengenai cubaan dan dugaan. Sebab selama lebih kurang 12,100 hari yang aku pernah hidup di atas planet ini, memang tak pernah sunyi dengan segala macam cubaan dan dugaan. Macam-macam pernah aku hadapi, tetapi aku rasa yang paling banyak ialah ketika aku ingin bersama seseorang.

Tetapi realitinya, memang seperti tajuk blog ini, aku tak peduli pun. Dan aku tidak pernah pun berehat dan terfikir sebentar yang aku sudah puas hati, sebab itu pemikiran terlampau Melayu.

Tapi aku Melayu. Cuma aku tak mudah puas hati. Aku mahukan yang terbaik untuk diri aku. Jadi aku biasanya akan selalu mengharungi segala Lautan Api, Gunung Tertinggi dan Pohon Berduri, asalkan di penghujung jalan aku gembira. Paling kurang pun kalau aku tak gembira sekurang-kurang aku gembira kerana berjaya membuktikan pada diri aku yang aku boleh harungi segala Lautan Api, Gunung Tertinggi dan Pohon Berduri.

Aku rasa itu beza aku dengan ramai diantara kamu semua. Aku harungi betul-betul, tapi kamu hanya dengar lagu jiwang tentang mengharung Lautan Api, Gunung Tertinggi dan Pohon Berduri. Sambil terduduk di Bawah Pohon Cemara melihat Bahtera Cinta Abadi.

Dan aku lakukan semuanya ini untuk Sindarella.

(Jiwang-nya)

Jumpa kamu di Temasek! Dan majulah sukan untuk negara! Olimpik, beb!

Popularity: 1% [?]

August 7, 2008 11

Drama Swasta Kita.

By in Pemerhatian, Pendapat, Youtube

Aku pernah terbaca di Internet tentang perkara-perkara yang kamu pasti jumpa dalam mana-mana episod drama swasta kita di televisyen. Aku sudah cuba Google tadi tetapi tidak terjumpa, ada sesiapa boleh berikan pautan kepada aku?

Bukan apa, cuma sebentar tadi aku tertonton rancangan ‘Bicara Cinta’ di Astro Ria. Dan aku terperasan dua perkara yang mungkin atau tidak pernah ditulis di dalam rencana yang aku sebut di atas.

Bayangkan, mungkin kadangkala hidup lebih senang jika kita hidup dalam drama swasta Melayu. Sebab kalau kita sedih dan kecewa akibat terlihat teman wanita bermesra dengan Beego, kita boleh bawa kereta pinjam tajaan Naza Motor dan berhenti di tepi jalan sambil hisap rokok macam Aqasha sambil kelihatan megah Menara Berkembar Petronas di belakang.

Aku juga mahukan pesta harijadi di tepi kolam renang, penuh dengan Perempuan Ampang, kawan-kawan yang aku tak kenal dan tiada skrip serta waiter ber’bow tie’ yang menghidangkan air sirap pekat di dalam gelas wain atau champagne. Kalau aku perempuan montel macam Zizie Izzette aku juga mahukan teman lelaki aku yang macam Aqasha sampai lewat ke pesta harijadi tersebut, agar membiarkan laluan skandal aku untuk potong line teman lelaki tersebut.

Sampai bila drama swasta kita akan beracuan sedemikian? Orang Melayu (dan orang bukan Melayu yang sukakan drama swasta Melayu) kita tak bosan ke? Macam drama swasta di bawah ini.

Popularity: 3% [?]

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes