Malam semalam aku telah pergi menonton The Dark Knight lakonan Christian Bale dan Heath Ledger (Edison Chen pun ada!). Terus terang aku katakan di sini, filem tersebut adalah Filem Berdasarkan Komik Yang Terunggul Dalam Sejarah Perfileman(tm). Pengarah Christopher Nolan memang seorang genius. Kalau kamu keluarkan Batman dari filem tersebut pun, filem itu secara asasnya memang filem yang bagus. Tonton jika kamu belum tonton, ok?
Tapi aku rasa macam ada orang dengki sedikit, sebab mengapa Mat Salleh sahaja yang boleh jadi Batman. Jadi, selepas nukilan berkenaan zombie yang lalu, aku jelaskan di sini 9 Sebab Mengapa Melayu Tidak Boleh Menjadi Batman.
1. Sebab Silat Banyak Bunga.
Kamu lihat sahaja cara Batman melawan musuhnya. Penuh dengan aksi mempertahankan diri yang berkesan, pantas dan tepat. Tak ada bunga-bunga pun macam silat. Kalau Batman pakai silat dijamin dia sudah tumbang awal-awal. Paling kurang pun lawannya sempat keluarkan mesingan, acu mesingan betul-betul dan menarik picu. Mati.
2. Sebab Melayu Ramai Sangat Kroni.
Kamu bayangkan, kalau Bruce Wayne yang kaya-raya itu Melayu. Pasti dia akan turunkan projek Batmobile atau Batpod ataupun Batsuit kepada kroni-kroninya. Akibatnya kroni-kroni tersebut mesti sub-kan kontrak tersebut kepada syarikat lain. Akibatnya ramai orang akan tahu identiti sebenar Batman berdasarkan jumlah topeng yang akan dihantar ke Bukit Damansara (kalau Bruce Wayne Melayu tinggal di Bukit Damansara-lah). Kantul identiti, semua orang pasti tahu. Tidak macam aku, alter ego aku masih terpelihara. Mungkin. Kalau identiti sudah terdedah semakin meriahlah Harian Metro dan Kosmo!.
3. Sebab Quality Control Kita Masih Lemah.
Kamu bayangkan, kalau Bruce Wayne hendak membina Batmobilenya, pasti dia terpaksa minta bantuan Proton, atau sekurang-kurangnya Perodua. Mesti jenuh dia menunggu Batmobilenya tiba, macam aku tunggu Satria Neo aku (sudah lebih 6 minggu!). Itu tak kira lagi perasaan bengangnya apabila dia hentak turunkan tingkap ketika hendak merokok semasa menunggu giliran di road-block, pasti tingkapnya tersangkut. Juga mungkin dia hendakkan Batmobile berwarna hitam, tetapi akibat Proton yang tidak cukup bahagian kereta mungkin terpaksa menghantar Batmobile berwarna jingga sebab tiada warna hitam. Kamu boleh bayangkan tak Batmobile warna jingga?
Ini kita belum fikir kalau dia minta bantuan Naza lagi. Ingatkan boleh dapat enjin khas, tengok-tengok enjin Hyundai dalam Batmobile. Tak ke parah?
4. Sebab Kita Kecoh Dengan ‘Black Metal’ Sangat.
Bayangkanlah, jika ada lelaki berjubah hitam dan bertopeng berkeliaran di Jalan Tun Razak. Sudah pasti dilabel ‘black metal’. Memang Batman sukar untuk bekerja akibat paranoia masyarakat kita. Mesti habis rumah Bruce Wayne di Bukit Damansara diselengkar untuk mencari tempat menyembelih kambing hitam dan bilik khas parti seks beramai-ramai. Keluar sahaja Batman di mata awam pasti beramai-ramai orang berkerumun di depan rumah selepas sembahyang Jumaat.
5. Sebab Batman Itu Kebal, Bukan?
Sudahlah berimejkan kelawar, mesti geng-geng ‘Seekers’ dan bomoh-bomoh handalan tercari-cari akan kekuatan Batman. Mesti tengok-tengok ada orang jual tangkal kebal Batman di Jalan Masjid India, jual jus yang dibuat dengan kelawar yang dikeringkan dan dicampur dengan air dari gua berkelawar. Geng-geng ‘Seekers ‘mesti pasang kamera merata-rata di tempat-tempat sunyi, semata-mata untuk ‘melihat’ si Batman. Datuk-datuk semua pasti tercari-carikan punca sebenar ‘kekebalan’ Batman, pasti timbul perkhidmatan ‘urut Batman’ yang diberikan khas oleh pakcik-pakcik berserban di dalam hotel-hotel murah sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.
6. Sebab Orang Kita Tidak Akan Sejahat The Joker.
Siapa Batman tanpa musuh-musuhnya? Kalau Batman Melayu, siapakah yang bakal menjadi musuh ketatnya? Pihak media massa pasti akan melaga-lagakan dia dengan Anwar Ibrahim ke, Khairy Jamaluddin ke, Najib Tun Razak ke. Setakat mereka ini jentik sekali pasti tumbang. Orang Melayu kita bukan jahat sangat pun sampai mampu berlawan dengan Batman. Paling kuat pun aku rasa Mona Fandey. Atau mungkin Botak Chin.
7. Sebab Tidak Ada Siapa Yang Sanggup Menjadi Robin.
Mengapa? Ini semua akibat stigma Pembantu Peribadi Lelaki Yang Muda. Batman pun aku rasa tidak sanggup mengambil pembantu yang mungkin di masa akan datang akan menuduhnya membuat perkara-perkara tidak elok berhampiran punggungnya.
8. Sebab Kita Suka Yang Popular Sahaja.
Aku rasa tidak sampai dua bulan pun nanti Batman akan aktif melawan penjenayah. Selepas dua bulan pasti tidak akan ada orang sanggup AFUNDI dia lagi. Kalau popular pun mesti tidak boleh lawan Mawi, walaupun populariti Mawi semakin menurun semenjak dua menjak ini akibat kekurang video lakloknya di Youtube.
9. Sebab Orang Jawa Singapura Sahaja Yang Boleh Jadi Batman.
Tak percaya? Lihat gambar berikut.
Serius, pergi tonton The Dark Knight sekarang!
Popularity: 5% [?]























