Aku lihat ramai di antara kamu yang suka bila aku menulis pasal makanan. Dan ya, aku suka makan, walaupun mungkin di antara kamu ingat aku kurang makan. Jadi di sini aku ingin senaraikan masakan-masakan kegemaran aku. Maaf, kalau senarai ini penuh dengan makanan orang Johor. Sebab masakan Johor paling bagus. Senarai ini tidak menurut kedudukan apa-apa, bermaksud No. 1 bukanlah makanan kegemaran aku, semuanya aku suka secara adil, sama rata dan saksama macam segala inisiatif Barisan Nasional. Bu-wek. (Oh ya, aku malas letak gambar untuk nukilan ini sebab nanti semua marahkan aku buat mereka kelaparan.)
Juga aku senaraikan tempat di mana boleh dapat jenis masakan yang aku senaraikan di Kuala Lumpur, atau tempat-tempat di mana aku selalu makan masakan tersebut. Di sini aku perlukan pertolongan kamu untuk senaraikan tempat-tempat lain di mana aku boleh dapat makanan tersebut. Sila letakkan nama restoran dan lokasi, ya?
1. Mee Rebus Johor
Aku pernah makan Mee Rebus di Terengganu. Gila ke apa? Maaf, tapi istilah ‘Mee Rebus’ disalahgunakan di sana. Mee Rebus yang aku maksudkan ialah jenis yang popular di Johor, sepertimana resepi yang digunakan restoran Mee Rebus Nasir dahulu di Pantai Lido. Kuah gelap yang pekat, selalunya dimasak dengan daging lembu, dan disertakan dengan taugeh, tauhu yang dihiris dan cebisan tepung (gandum?) yang digoreng. Juga dihiasi dengan bawang goreng dan lada hijau. Biasanya kuahnya berasaskan belacan, dan ada rasa udang sedikit.
Di mana? Aku selalu makan di Restoran Ajidon di Plaza Damas, Restoran Village Park dan Kopitiam Killeney’s di Uptown Damansara tetapi yang paling masyuk ialah gerai tepi jalan (yang menggunakan lori kecil putih macam penjual rojak dan cendol) di Keramat AU2 berdekatan dengan Petronas dan 7/11. Tetapi hanya di waktu siang, ya?
2. Mee Jawa
Dia seakan-akan Mee Rebus, tetapi biasanya ditambah dengan kentang rebus yang dihiris dan sayur (sawi?). Juga berasaskan belacan.
Di mana? Mak aku buat. Aku tak pernah makan yang bagus di kedai. Paling overrated ialah kedai yang menjual Mee Jawa di food court Pavilion KL. Ish ish.
3. Lontong
Nasi himpit yang dimakan dengan kuah lodeh, sejenis kuah seakan kuah lemak, tetapi biasanya di masukkan tempeh, tauhu, udang dan kubis. Selalunya di makan dengan kuah kacang, tetapi ada tempat yang menggunakan sambal. Selalunya di makan di Johor sebagai sarapan pagi tapi aku suka makan bila-bila masa.
Di mana? Setakat ini yang paling aku suka di Restoran Village Park di Uptown Damansara. Aku dengan lontong terbaik adalah di Medan Selera atau pasar di Seksyen 14 Petaling Jaya, tetapi cuma di waktu pagi. Betul ke? (Aku tak pernah makan di situ).
4. Murtabak Singapura
(Sila baca nukilan ini.)
5. Rojak Singapura
Beza rojak ini dengan rojak mamak biasa ialah bahan-bahan yang diletakkan di dalamnya. Selalunya selain tepung yang digoreng, akan ada tepung yang digoreng dengan bawang, sayur, dan macam-macam bahan lain. Biasanya tepung ini akan digoreng dalam bentuk bebola seakan saiz bola tenis (mungkin kecil sedikit), dan juga akan ada tempeh goreng, kentang rebus dan telur rebus yang disalut dengan tepung goreng, dan timun serta lada hijau seperti biasa. Kuah kacangnya juga seakan kuah satay, tidak berapa pedas. Aku pernah makan di Pelita KLCC dan Mamak Bistro di Subang, tetapi kedua-duanya menghampakan keinginan aku dengan Rojak Singapura.
Di mana? Seperti yang aku katakan tiada yang bagus di KL, kecuali dua tahun lepas di Pasar Ramadhan TTDI. Kata si penjual dia biasa menjual di tepi jalan di bandar Dengkil, siapa tahu di mana ya?
6. Satay
Kalau kamu tak kenal satay sila berpindah ke Myanmar atau Filipina.
Di mana? Dahulunya yang paling sedap aku makan ialah GG Satay yang berdekatan Restoran Naan Corner di Ampang Jaya, berhadapan 7/11 yang bersebelah ISKL. Sekarang kedai itu tidak wujud lagi? Jadi sekarang aku akan makan sama ada di Restoran Ajidon (lagi) di Plaza Damas, dan kedai-kedai Satay Haji Samuri (boleh tahan). Juga aku dahulu suka makan di Restoran O Mulia di persimpangan Jalan Tun Razak dan Jalan Semarak (?) tetapi amat susah parking di sana.
7. Mee Bandung Muar
Maaf, tetapi segala apa jenis Mee Bandung yang dijual di Kuala Lumpur semuanya tipu. Penuh ‘sampah’ terutamanya serai. Mee sedikit sahaja. Mee Bandung asli dari Muar memang jauh berbeza dari Mee Bandung Lembah Kelang. Kuah sedikit pekat (bukan cair) berasaskan belacan, yang dimasak bersama daging, telur dan sedikit sayur. Kadangkala akan dimasukkan kacang tanah yang dikisar (tetapi tidak terlalu halus) di dalam kuah.
Di mana? Di KL aku hanya makan di satu tempat seperti aku tuliskan di nukilan yang lepas iaitu Restoran Wak Tomyam yang disebelah stesen Petronas di Jalan Kolam Air di Ampang Jaya.
8. Superstar with Cheese
Dua keping burger daging yang besar, dengan sayuran segar, pickles dan tomato serta keju. Yummy! Kalau nak lagi sedap cakap di kaunter supaya jangan letak mayones. Aku memang jarang makan makanan segera tetapi untuk burger ini aku sanggup makan. Memang sedap. Tak percaya cuba! Aku janji lepas ini kamu akan bekerja keras, dapatkan lebih banyak gaji agar kamu mampu makan di sana sebab McDonald’s dan Burger King akan jadi tidak menyelerakan langsung. Dan ya, cuba makan french fries mereka dengan sos khas yang mereka sediakan!
Di mana? Cawangan Carl’s Junior di Pavilion KL, One Utama dan Mid Valley. Paris Hilton pun suka Carl’s Junior tau!
Itu sahaja yang aku ingat kali ini. Babi, sudah pukul 3 pagi dan aku mula lapar.
Popularity: 13% [?]