Popularity: 26% [?]
Tengah Malam Sabtu aka Soalan Cepu Emas 11.
By Melayu Minimalis in Layan Diri, Soalan Cepu EmasDalam dua, tiga minggu kebelakangan ini aku banyak keluar berjumpa orang. Bukan hendak katakan yang sebelum ini aku sedang asyik bertapa di dalam gua dan tidak berjumpa dengan orang langsung, tetapi mungkin sebab aku kurang berbasikal sekarang (sebab basikal masih menunggu aku di Milan) aku terpaksa gantikan aktiviti berbasikal dengan aktiviti-aktiviti lain.
Seperti biasa apabila berjumpa dengan orang yang tahu tentang blog aku, mereka akan sama ada a) mula bergaya dengan mulut tertutup di depan kamera aku atau b) memberikan cadangan tentang apa yang patut aku tulis selepas ini.
Ramai yang mungkin sedar sebenarnya tidak banyak lagi yang boleh aku tulis di sini, aku rasa sudah cukup setakat para pembaca membelek-belek arkib lama untuk membaca apa yang aku telah tulis sebelum ini. Setakat hendak tulis ‘Tafsiran Douchebag Melayu’ memang tidak berbaloi, sebab aku tidak sanggup bazirkan masa menulis tentang orang yang aku tidak suka.
Jadi baru-baru ini aku telah berjumpa dengan orang-orang yang telah memberikan aku idea bernas tentang subjek apa yang aku patut sentuh. Ada dua cadangan yang menonjol bagi aku, iaitu:
1. Dedahkan identiti sebenar, dan mula menulis pandangan dan pendapat di bawah nama/identiti sebenar.
2. Buat senarai ala senarai di dalam buku High Fidelity, iaitu senarai kekasih lama.
Aku terfikir juga tentang cadangan yang pertama, tetapi aku rasa belum sampai masa. Walaupun ramai yang tahu aku ini Irman (hahahahahahahahaha), aku rasa lebih ramai di luar sana yang perasan mereka kenal aku tetapi sebenarnya hanya kenal aku berdasarkan reputasi, tidak kisahlah dari muzik, senireka, industri penerbitan/pengiklanan dan sebagainya. Dan sebenarnya aku malas dan rasakan tidak perlu untuk membela idealogi serta pendapat sendiri, terutamanya kepada mereka yang kenal siapa aku, sebab dunia ini penuh dengan orang yang dengki. Mesti ada benda yang kena betah.
Dan seperti mana yang kamu (serta aku) tahu, di dalam dunia Internet memang mudah berkata-kata besar dan berhasad dengki dengan bertopengkan topeng anonymity.
Tentang cadangan kedua juga mungkin boleh dipertimbangkan. Semenjak kebelakangan ini aku selalu sangat diletakkan di dalam situasi di mana orang-orang yang aku pernah sayang (atau masih sayang) secara kebetulannya berada di bawah bumbung yang sama. Bekas teman wanita atau isteri tidak penting, yang penting kadangkala aku hairan kenapa aku masih tidak faham atau terlalu kritikal di dalam mana-mana hubungan aku masa dahulu.
Aku hairan mengapa keperluan aku untuk mendapatkan pasangan yang benar-benar memahami diri serta citarasa aku (aku akui aku mungkin agak eccentric, tetapi bukanlah tahap ganjil) amat sukar, dan jikalau berjaya jumpa pun, macam-macam cabaran serta halangan yang menimpa.
Walaupun menurut sejarah peribadi aku, dengan cukup kesabaran dan ketekunan, setiap cabaran memang boleh diatasi.
Mungkin sebab itu dahulu aku selalu tercari-cari, sampai berada di dalam situasi kurang menyenangkan semata-mata kerana cinta. Tahap boleh gila punya. Memang gila pun buat seketika dahulu.
Sekarang pun boleh gila dibuatnya. Banyak persoalan bermain di fikiran. Secara metaforanya begini, patutkah aku selamba sahaja naik bas sekarang atau tunggu bas yang seterusnya? Bas sekarang memang mencabar perjalanannya, tetapi bas yang selepas ini tidak tahu pula bila akan tiba, itupun kalau memang tiba. Walaupun kalau hendak dilihatkan mungkin sekarang bas tidak akan tiba langsung pun, sebab bas mungkin telah berubah haluan. Kalau kamu bagaimana?
Popularity: 25% [?]















































































































