Pernah ada suatu masa dahulu aku idamkan teman wanita yang mempunyai citarasa muzik yang sama dengan aku. Mungkin aku amat terpengaruh dengan karya penulis Nick Hornby iaitu High Fidelity (juga lihat filem lakonan John Cusack, yang agak bertepatan dengan karya novel asal), dan mungkin aku obses dengan niat untuk memberi soundtrack bersesuaian untuk mana-mana fasa kehidupan aku, tapi aku akhirnya pasrah bahawa kemungkinan untuk muzik menjadi pengikat dan pemangkin mahupun penyelamat mana-mana perhubungan aku dengan wanita adalah amat tipis.
Jadi aku telah menyerah kalah dan mula keluar dengan wanita yang sukakan Britney Spears mahupun Lindsay Lohan (yang aku sendiri minat), dan tak tahu apa-apa tentang Black Flag ataupun The Clash. Tak kisah, kata hati aku, sebab secara realitinya, Si Teman Wanita Obses Muzik Seperti Aku mungkin tidak wujud dalam dunia ini. Kalau ada pun mesti hodoh dan gemuk, berbau peluh dan tak boleh meletakkan belakang lututnya di telinga. (Cerita Lain)
Walaubagaimanapun, aku masih percaya citarasa muzik seseorang itu boleh mempengaruhi arah tuju kehidupan seseorang. Jika kamu hanya minatkan Kristal dan Achik Spin, sudah tentu kehidupan anda berbeza dari seseorang yang minatkan Slayer dan H.I.M., bukan?
Jadi di sini, sebagai panduan bodoh, aku persembahkan senarai kumpulan gitar rancak yang boleh menyelamatkan anda dari menjadi Haji Dilbert bin Abdullah dan perangkap berbahaya Akademi Fantasia, agar kamu mendapat lebih makna dari kehidupan kita yang cukup singkat ini. Perlu diingatkan ini adalah senarai band sahaja, tidak termasuk senarai produser mahupun DJ, yang sudah semestinya satu Senarai lain. Jangan biarkan kamu tahu nama-nama ini sahaja, sila Googlekan lagu-lagu mereka dan jika rajin sila muat turun secara haram fail-fail mp3 mereka sebab mereka sudah cukup kaya. Juga perlu diingatkan ini semua nukilan ringkas, aku bukan pakar biografi mereka. Terima kasih kerana memahami. Yang tak faham sila tinggalkan komen bodoh seperti biasa.
Juga senarai ini adalah senarai am, bukan senarai untuk hipsters. Kalau kamu tak suka senarai aku sila pergi ke pitchforkmedia.com sekarang juga dan pakai mekap untuk pergi ke The Loft hari Jumaat ini.
(Sudah tentu jika kamu seorang wanita menarik yang suka semua dalam senarai di bawah secara automatiknya kamu termasuk dalam senarai isteri kedua aku. Jangan tanya, Cerita Lain.)
1. Joy Division
Pada aku, tiada band yang se’cool‘ Joy Division dalam dunia ini. Walaupun aktif buat seketika pada penghujung tahun 70an kerana penyanyi utamanya Ian Curtis membunuh diri, kesan mendalam band ini terhadap arena muzik dunia, terutamanya untuk muzik post-punk, goth dan untuk muzik yang datang dari Britain secara amnya memang agak ketara. Walaupun selepas kematian Ian Curtis, band ini telah maju setapak lagi sebagai New Order, yang sendirinya patut disenaraikan dalam senarai ini, tapi untuk yang benar-benar obses, Joy Division dan New Order sebenarnya wujud sebagai satu entiti yang sama. Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang Joy Division sila tonton filem biografi arahan Anton Corbijn berjudul ‘Control’.
Satu lagi sebab kenapa Joy Division begitu cool untuk aku ialah sebab hasil kerja mereka dengan pereka grafik pujaan aku Peter Saville. Memang minimalis. Walaupun dia bukan Melayu.
Band ini juga suka berbaju hitam. Paling kurang pun bergambar dalam hitam-putih.
2. Depeche Mode
Tak ramai orang dalam dunia ini (oklah, mungkin di Malaysia sekurang-kurangnya) yang boleh mengatakan bahawa mereka mula mendengar Depeche Mode dari album mereka yang pertama, KETIKA album pertama mereka itu mula dikeluarkan. Lama tuh. Asalnya sebagai 4 orang budak hingusan dari bandar kecil Basildon di Essex, UK, (salah seorang anggota asalnya ialah Vince Clarke, yang kemudiannya berjaya sebagai anggota kumpulan The Assembly, Yaz (atau Yazoo) dan kemudiannya Erasure) merupakan salah satu kumpulan yang aku rasa paling banyak mempengaruhi hidup aku. Memang patut pun aku jadi begini, tak hairan. Lagu-lagu muram dan suram yang penuh dengan mesej cinta obses (dan mungkin homoseksual), fobia dan pemulauan diri serta pengasingan memang sesuai dijadikan soundtrack hidup aku.
Mungkin dari dahulu aku patut dengar The Osmonds, mungkin aku akan gembira sedikit. Kot.
Band ini juga suka berbaju hitam. Lihat gambar.
3. Radiohead
Kalau anda tak kenal band ini, memang ada benda yang tak kena. Kalau tak silap aku, mereka ni merupakan salah satu band rock terbesar di dunia buat satu dekad yang lalu. Sampai aku pun malas nak taip pasal mereka. Kalau tak kenal Radiohead memang kamu bodoh dan layak kekal sebagai A.A.y.D.d.K.B.G.A.B.
Seperti Joy Division, mereka juga selalu bekerja bersama seorang sahaja pereka grafik, iaitu Stanley Donwood, yang juga merupakan salah seorang pereka kegemaran aku. Kalau kamu tak tahu seni reka grafik memang penting untuk kerja aku sebagai ahli fizik nuklear. Pemisahan atom dan kemudiannya pemecutan zarah atom dalam atomic supercollider secara amnya merupakan seni yang berasas pada seni rekaan grafik. Mungkin.
Sering berpakaian hitam untuk sessi bergambar.
4. Beastie Boys
Aku tahu, mereka kumpulan hip-hop, tapi pada asal penubuhannya mereka merupakan band punk. Kemunculan tiga pemuda Yahudi (orang Yahudi juga manusia. Aku tak faham kenapa kita fikir orang Yahudi itu semuanya jahat. Aku ada kawan Yahudi, kamu ada?) berkulit putih ini memang menggemparkan pada awalnya, dan dari masa kemunculannya sehingga sekarang, mereka merupakan entiti yang bukan sahaja berpengaruh dari segi muzik, malahan dari segi perniagaan, hiburan am dan juga trend serta fesyen. Aku suka!
Malah, latarbelakang mereka sebagai kumpulan muzik dan pemain muzik juga tidak dilupakan, jadi selain hip-hop mereka juga banyak memainkan muzik secara live dengan alatan muzik, dan album terbaru mereka ‘The Mix Up’ merupakan album di mana mereka kurangkan rap dan rakamkan persembahan mereka bermain dengan alatan muzik biasa. Aku harap bila umur aku mencecah 50 tahun nanti aku akan masih serelevan mereka sekarang. Cool, aktif bermain muzik tapi bukan Yahudi.
Suka berpakaian hitam tapi lebih suka warna jingga cerah.
5. Smashing Pumpkins
Persoalannya sekarang, Smashing Pumpkins era dahulu (sekitar ‘Gish’ dan ‘Mellon Collie’) ataupun era sekarang? Secara susunan muziknya Smashing Pumpkins era sekarang memang sama, tapi pada aku Smashing Pumpkins tidak lengkap tanpa gitaris James Iha dan pemain bass D’Arcy.
Aku kadangkala bengang bila Smashing Pumpkins dilonggokkan bersama dalam kumpulan era grunge lain, walhal secara jujurnya pada pendapat aku lagu serta irama mereka jauh lebih berkekalan dari bunyi grunge ketika itu. Juga kalau kamu perhatikan, aku takkan meletakkan band grunge di dalam senarai ini, dengan alasan bahawa tak banyak lagu-lagu era tersebut masih kedengaran segar sekarang. Macam sudah basi. Jangan marah.
Dahulunya suka warna-warna ala psychedelic tapi semenjak dua menjak ini suka berbaju hitam.
6. Mogwai
Glasgow, Scotland merupakan tempat asal kumpulan ini, yang barangkali telah memperdengarkan muzik post-rock ke pentas yang lebih luas pada pertengahan tahun 90an. Walaupun bosan dilabel post-rock, (ini merupakan trend melarat masa ini, band-band yang tidak gemar dilabel memainkan muzik yang mereka mainkan, walaupun labelan itu tepat) band ini masih dikejar berdasarkan irama muzik mereka yang seakan-akan soundtrack untuk filem. Malah, muzik mereka (dan banyak lagi muzik band-band post-rock lain) banyak digunakan dalam filem, dan terima kasih kepada siri tv Barat seperti CSI serta The O.C, muzik mereka makin mendapat liputan luas, walaupun kamu tak sedar sebab asyik terpacul di depan tv menunggu si Aznil Nawawi.
Aku tak pasti mereka ini suka berbaju hitam ataupun tidak.
7. Interpol
Salah satu band yang paling relevan di kawasan New York selain dari The Strokes, Interpol boleh dikatakan sebagai pendorong utama muzik art-rock, yang banyak berasas kepada idea-idea asal Joy Division dan New Order. Aku suka band ini sebab mereka banyak mengimbas kembali idea-idea muzik yang dahulunya dianggap sudah lapuk, dan kemudiannya mengolahnya kembali kepada sesuatu yang dikenali sebagai ‘bunyi ekslusif’ mereka.
Dan juga mereka suka memakai baju yang kemas dan mahal dan tidak berlogo kuda polo besar, selalunya berwarna hitam.
8. The Cure
Walaupun si penyanyi utamanya Robert Smith sekarang sudah berkedut dan agak gempal (dan ahli-ahli lainnya semakin membotak dan membuncit), tapi pengaruh The Cure di dalam muzik popular sekarang memang tidak boleh dinafikan. Selalu dilihat sebagai pengaruh utama di dalam muzik berunsur goth, band yang selalu berpecah tetapi selalu kembali bersama (sekurang-kurangnya ada Robert Smith) ini mempunyai mood yang sama seakan Joy Division dan Depeche Mode, yang lebih berunsur gelap dan suram.
Mereka ini tidak kenal warna lain selain warna hitam.
9. The Doors
Sebenarnya ada beberapa lagi band-band era 60an yang aku ingin letak (seperti Mike Ibrahim and The Nightwalkers dan The Swallows) tapi akhirnya aku bercadang untuk meletakkan si Jim Morrison dan rakan-rakannya di dalam The Doors. Pengaruh mereka mungkin tak sebesar The Beatles mahupun Led Zeppelin (yang kedua-duanya layak untuk disenaraikan di sini, tapi penyertaan kedua-duanya dibatalkan atas sebab ‘Siapa Yang Tak Kenal The Beatles Dan Led Zeppelin?’ ), tapi mereka cukup relevan dalam citarasa muzik aku.
Aku rasa merekalah antara band komersial terawal yang memasukkan unsur-unsur yang dahulunya dianggap sensitif seperti seks, dadah, syaitan dan ketuhanan di dalam muzik mereka, dan hidup mereka sering dirundung kontroversi dan enigma, terutama yang berpusar di sekeliling kehidupan penyanyi Jim Morrison. Kawan sekolah aku si Oliver Stone (nama dia kat sekolah ‘Mat Stone’) ada mengarah filem berkenaan The Doors jadi sila tontoni jika kamu hendak tahu lebih lanjut (secara ringkas-lah) tentang The Doors ataupun kamu ingin melihat buah dada Meg Ryan.
Mereka juga suka berpakaian hitam kecuali si pemain kibod yang hanya suka berkaca mata hitam.
10. Sigur Rós
Aku rasa ini band terbaru dalam senarai aku, dan mereka, pada aku, layak berada di dalam senarai ini kerana mereka telah menjangkaui segala harapan aku tentang apa yang boleh dicapai dengan muzik semata-mata. Bukan sahaja band dari Reykjavik, Iceland ini diketuai lelaki homoseksual buta mata sebelah, (yang amat berbakat. Lelaki homoseksual juga manusia, bukan?) tapi mereka juga biasanya menyanyikan lagu mereka dengan bebelan yang seakan bahasa mereka sendiri, yang mereka gelar bahasa Hopelandic.
Sekarang cuba cari band Malaysia yang boleh membuatkan bebelan kedengaran seperti lagu. Ada tak?
Band ini jarang berpakaian semua hitam.
Baiklah, seperti aku katakan, senarai ini tidak lengkap, ada banyak lagi band yang aku rasa boleh diletakkan di sini. Tapi seperti aku katakan, ini senarai aku. Tak puas hati buat senarai sendiri ataupun tinggalkan komen bodoh tentang bagaimana Ekamatra (aku suka Ekamatra, ok? Tapi kurang relevan) patut berada di dalam senarai ini.
Juga kalau kamu perhatikan obsesi aku untuk meng’soundtrack’kan kehidupan aku telah membuatkan aku lebih menjurus ke muzik yang lebih aman damai dan kurang bising. Mungkin nanti aku akan sediakan senarai lain seperti senarai 10 Lagu Untuk Didengar Sambil Membunuh Kucing (aku pencinta kucing, ok?) ataupun yang seakan dengannya.
Terima kasih. (kata si Melayu Minimalis sambil menahan diri untuk menulis nukilan yang lebih kontroversi lagi…)
Popularity: 6% [?]