Aku sebenarnya malas untuk menulis lagi hari ini, tetapi baru sebentar tadi, semasa aku sedang makan nasi lemak (yang tak berapa sedap pun) di salah satu Kopitiam kegemaran aku, aku telah terserempak dengan sekumpulan mereka.
Mereka Yang Digelar Perempuan Ampang.
Ya, aku tahu aku telah menulis sedikit hal berkenaan kumpulan sosial ini di sini, tetapi sebelum aku membuat semua penduduk wanita Ampang berpindah ke Petaling Jaya, lebih baik aku sediakan keterangan lanjut yang lebih terperinci. Terlebih dahulu saya minta maaf jika kamu Perempuan Ampang yang tidak termasuk di dalam stereotaip di bawah, dan sila beri komen, ya?
1. Kebiasaanya mereka ini perempuan Melayu, berumur sekitar 20an, dan tinggal di kawasan Ampang Hilir (Taman Kosas, Ampang Jaya) tetapi aku perhatikan di kawasan Kota Damansara sekarang juga ramai. Lagi-lagi di kawasan perumahan pangsa di situ. Tapi awas, ini tidak bermakna jika kamu terkeluar dari kawasan ini yang kamu tu bukan Perempuan Ampang.
2. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kebanyakan mereka gemar berpakaian jenama sederhana mahal, bukan high-fashion seperti Christian Dior atau Louis Vuitton (sekali lagi, ia disebut seperti ‘lu-wi’, bukan ‘lu-is’, terima kasih) tapi jenama-jenama seperti Zara, MNG, Guess, Gap, Esprit (yang tak hebat pun) dan Armani Exchange. (yeah A/X jenama murahan, bukan Armani sebenar). Jarang yang membeli di Topshop, terlalu kebudak-budakan katanya.
Biasanya baju yang dipilih akan menampakkan lurah dada, sedikit atau banyak bergantung kepada kualiti coli mereka (bukan Victoria’s Secret, kecuali yang dijual di jualan gudang di sekitar Ampwalk atau Ampang Point). Suka tampak seksi, tapi malu berbikini di kolam renang kerana ingin menjaga aurat, atau pun disebabkan tak pandai berenang. Yang kurang berani seksi akan tetap memakai baju low-cut, tetapi akan memakai t-shirt sendat di bawah pakaian tersebut, ala Erra Fazira di mana-mana majlis anugerah.
3. Aksesori seperti beg tangan sudah mesti, selain dari jenama yang disebut di atas, barangan tiruan jenama high-fashion tapi bergred A+ (yang tidak boleh dibeli di Jalan Petaling. Cuma secara direct-selling) menjadi pilihan. Aksesori dengan sentuhan emas diutamakan. Kasut bertumit tinggi sudah tentu (maklumlah Melayu biasanya ketot-ketot), dipilih dari Vincci mahupun Nose jika ada duit lebihan lepas makan di kopitiam.
4. Rambut jarang sekali berwarna hitam. Kebiasaannya coklat keperang-perangan, hasil penat lelah kerja sendiri selepas membeli pewarna rambut halal di farmasi terkemuka. Lagi panjang dan beralun serta berombak lagi digemari.
5. Terlalu banyak mekap di muka. Kening mata lebat sebab haram memetik bulu kening. Trend sekarang mengenakan lipstick berwarna merah jambu, ditambah dengan lipgloss agar menampakkan imej seperti artis.
6. Menghisap rokok Marlboro Lights atau Salem sahaja. Yang perasan memberontak akan menghisap Sampoerna Hijau. (Sampai bila product placement subversif Saemporna dalam siri ‘Sempurnakan Hari Mu’ akan berlarutan?????)
7. Harus mempunyai teman lelaki bermisai nipis sebagai pelengkap aksesori. Si dia juga berambut karat, dipotong dengan gaya ‘fin’ ala David Beckham (that’s so 1999, dudes!). Nama timangan – ‘B’ (untuk Bodoh, Bangang, Bahlul, Beghal) Akan setia membawa Perempuan Ampang ke sana ke mari dengan BMW/Mercedes keluarga kepunyaan ibu bapa. Tafsiran Lelaki Ampang ni? Cerita Lain.
8. Tidak pandai menggunakan perkataan ‘saya’ atau ‘kamu’ ketika berbicara. Lebih suka menggunakan ‘I’ ataupun ‘you’. Terutamanya dengan kekasih, ketika shopping beramai-ramai dalam satu kumpulan untuk membeli satu klip rambut di kedai Forever21 dan di kopitiam.
9. Kerjaya idaman : Pelakon. Bukan calang-calang pelakon, tetapi pelakon drama swasta yang mempunyai slot tetap di RTM1/2. Adegan idaman : Adegan minum orange juice di kafe/kelab malam/lounge hotel, adegan nangis. (agar menampakkan skill lakonan sebenar kepada Datuk Yusoff Haslam) dan mana-mana adegan dengan Rosham Noor/Faizal Hussein.
10. Idola : Nasha Aziz, Fazura, S Kadarisman (mungkin), Hans Isaac.
11. Muzik kegemaran : RnB, hiphop. (lagi-lagi lagu Jennifer Lopez) Suka melepak di Zouk/Maison pada malam Khamis (Ghetto Heaven dan Urban Republic, beb). Yang berduit sikit akan berkeliaran di kawasan Asian Heritage Row di Jalan Dooraisamy. Mana tahu boleh terserempak dengan Sazzy Falak atau Dynaz. (mereka lepak di Atrium, boys.) Paling tak minat muzik rock, kecuali Ella.
Suka menyuruh teman lelaki mereka membuka sebotol arak mahal (tapi tak terlalu mahal) dan dikongsi minum beramai-ramai. Tepat jam 3 pagi akan beredar dan buat-buat mabuk rabak (walhal minum arak sedikit) di kedai-kedai mamak, paling popular di Restoran Pelita berdekatan KLCC di Jalan Ampang.
12. DVD kegemaran : Fast And Furious, Too Fast Too Furious, Fast And Furious : Tokyo Drift, Jangan Pandang Belakang. Rancangan tv kegemaran : Melodi, Nona, Desperate Housewives, America’s Next Top Supermodel. Makanan kegemaran : yong tau foo, yang halal.
12. Suka letak kaki di atas kerusi ketika makan. Suka mengusha orang tanpa senyuman.
13. Belajar di IPTA dan menggunakan kemudahan kolej/universiti untuk melayar internet dan membuka akaun Myspace. Letak gambar sendiri (memakai kaca mata hitam, berlurah dada, semestinya) yang diambil menggunakan telefon bimbit di dalam kereta Proton atau Perodua, sUkA TaIp BEgiNi dan meletakkan Heroes : Nabi Muhammad. (tiada yang salah di sini)
Oh ya, di Myspace sekarang yang tinggal, selain dari pondan, rempit dan akak tudung hanyalah Perempuan Ampang. Yang bukan Perempuan Ampang telah berpindah ke halaman lain. Juga jangan tertipu dengan laman Myspace yang terpapar Lesbians Only disertakan dengan gambar wanita seksi (yang dicuri). Contohnya laman ini. KESEMUA laman-laman sebegitu adalah hasil kerja Mat Rempit yang baru berjinak dengan Myspace. Perhatikan, baca, dan kemudian ketawalah terdekah-dekah apabila anda menyedari semua mesej-mesej ghairah dari seorang melayu ‘lesbian’ ke seorang melayu ‘lesbian’ yang lain hanyalah interaksi antara dua orang rempit yang telah kalah berlumba haram.
14. Kurang fasih berbahasa Inggeris tapi persetankan kata mereka—usaha tangga kejayaan!
15. Pernah mengambil rawatan suntikan Vitamin C. (awet muda you!)
16. Aktiviti kegemaran : Berlatih di gim dan main futsal macam Sazzy dan Fazura dalam Gol & Gincu.
Sekian, terima kasih. Apa kata kamu?
Popularity: 23% [?]








